Khamis, 1 Ogos 2019 | 10:56am
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Penyusuan susu ibu perlu rantaian sokongan

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak harus tampil menggembleng usaha ke arah mewujudkan rantaian sokongan bagi menyediakan persekitaran yang berupaya memperkasakan ibu untuk menyusukan anak secara optimum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keperluan menyuarakan sokongan itu antara lain merangkumi pasangan, keluarga, majikan, rakan sekerja dan komuniti yang bakal memberi impak lebih besar dalam membudayakan amalan penyusuan susu ibu di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, enam perkara utama berkaitan inisiatif memperkukuhkan budaya penyusuan susu ibu bagi melindungi anak daripada pelbagai penyakit ketika bayi dan mengurangkan risiko kesihatan ketika dewasa wajar diberikan penekanan.

“Ibu atau bakal ibu bapa perlu mendapatkan ilmu asas penyusuan seawal mengandung daripada sumber yang sahih, malah suami dan ahli keluarga harus peka mengenai keperluan ibu semasa tempoh menyusu, membantu ibu menyusu serta memberi sokongan emosi dan kasih sayang.

“Rakan sekerja perlu memberi empati, sokongan moral dan membantu meringankan tugas ibu menyusu. Kumpulan sokongan penyusuan susu ibu perlu terus menerus memberi sokongan dan berkongsi pengalaman untuk memotivasikan golongan ibu.

“Masyarakat sekeliling perlu prihatin kepada keperluan ibu menyusu, terutama di tempat awam, memberi empati dan sokongan emosi. Majikan di sektor kerajaan dan swasta perlu menyediakan persekitaran kondusif kepada golongan ibu.

“Hal ini termasuk menyediakan pusat jagaan bayi dan kanak-kanak, kemudahan untuk ibu memerah dan menyimpan susu ibu, bilik atau sudut penyusuan serta melaksanakan waktu kerja anjal,” katanya dalam kenyataan sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Ke-27, hari ini.

Sambutan tahunan yang diadakan pada 1 hingga 7 Ogos, di seluruh dunia itu kali ini menggariskan tema ‘Caknakan Ibu Bapa, Jayakan Penyusuan: Bertindak Sekarang Demi Masa Depan’.

Selari tema sambutan, Dr Dzulkefly berkata, kementerian melalui Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016-2025) menggariskan pelbagai strategi dalam menjayakan penyusuan susu ibu.

Katanya, antara strategi berkenaan ialah memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi serta Tata Etika Pemasaran Makanan Bayi dan Produk Berkaitan, selain beberapa inisiatif bersifat jaringan kerjasama.

“Kita juga mengadakan advokasi pemakanan, latihan untuk anggota kesihatan dan penyebaran maklumat melalui media massa serta media sosial. Sehingga kini, sebanyak 157 hospital mendapat pengiktirafan Hospital Rakan Bayi, termasuk semua 137 hospital kerajaan dan 20 hospital swasta.

“Manakala 670 klinik kesihatan seluruh Malaysia diiktiraf sebagai Klinik Rakan Bayi. Bagi menyediakan Malaysia sebagai sebuah negara yang ‘mesra bayi’, diharapkan semua hospital swasta di Malaysia melaksanakan inisiatif ini.

“Kementerian Kesihatan berharap semua ibu bapa dan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa untuk terus menyokong serta melindungi penyusuan susu ibu demi kelestarian generasi kita yang akan datang,” katanya.

Berita Harian X