Selasa, 30 Julai 2019 | 11:57am

Ibarat persandingan 33 tahun lalu

BERDEPAN detik bersejarah pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16, riak wajah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, nampak tenang seakan tiada apa yang perlu dirisaukan.

Cuba menebak perasaan di sebalik rona putih baju kurung yang menyerlahkan keanggunan dan senyuman manis dilemparkan, hakikatnya terselit kegembiraan pada riak wajah baginda.

“Hari itu (hari ini) kami seperti pengantin. Kami bersanding sekali lagi dan ia seperti siaran langsung majlis perkahwinan kami 33 tahun lalu,” titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah dan Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diijab kabul pada 6 Mac 1986, sebelum disusuli persandingan pada 19 Julai tahun sama.

Tidak hairanlah istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai YDPA Ke-16 cukup istimewa seolah-olah meraikan persandingan semula serta mengulangi sejarah besar lebih tiga abad lalu.

Tidak cukup dengan itu, takhta singgahsana yang akan menjadi tempat baginda berdua bersemayam juga pernah digunakan ayahanda dan bonda kedua-dua baginda.

Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah bersemayam di singgahsana sama ketika berkhidmat sebagai YDPA Ketujuh, sebelum digunakan pula Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail sebagai YDPA Kelapan.

Namun, di sebalik kegembiraan, Tunku Azizah tidak dapat menafikan rasa terkilan mengenangkan ayahanda dan bonda yang tidak dapat melihat detik baginda berdua bersemayam di singgahsana itu.

Tidak semena-mena, air mata jernih bergenang pada kelopak mata Tunku Azizah, namun cepat-cepat diseka dengan hujung jari.

Tunku Azizah bertitah, singgahsana sama hanya digunakan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail kerana ketika Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah menjadi YDPA Kesembilan, baginda menggunakan singgahsana baharu.

Justeru, Tunku Azizah terpaksa mencari semula singgahsana berusia 40 tahun itu, sebelum menemuinya di Galeri Diraja Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan.

“Saya beritahu kepada Istana Negara ingin menggunakan singgahsana itu untuk lima tahun dan mereka boleh mengambilnya semula selepas tempoh itu. Namun, tak tahulah (mungkin) selepas lima tahun itu saya ambil terus,” titah baginda berseloroh.

Mengenai persiapan menyambut hari bersejarah itu, Tunku Azizah amat teliti bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Macam kita hendak buat persiapan anak kahwin atau menyambut hari raya, kita hendak semuanya baik belaka.

“Saya lebih utamakan persiapan. Singgahsana, menu, bagaimana hendak dekorasi, persiapan pakaian saya, suami dan anak.

“Saya mesti pastikan pakaian saya betul. Kalau tidak, bonda akan memandang rendah pada saya kerana tidak berpakaian dan bersemayam dengan betul,” titah baginda sambil memuji pihak Istana Negara kerana teratur dalam menguruskan perjalanan istiadat.

Bercerita mengenai persalinan untuk hari pertabalan, Tunku Azizah bertitah mengikut perancangan asal, Al-Sultan Abdullah akan memakai muskat diraja yang pernah digunakan Almarhum Sultan Ahmad Shah bersama tanjak, samping dan bengkung diraja ketika Almarhum ditabal menjadi YDPA Ketujuh.

Persalinan sama pernah dipakai Almarhum ayahanda Tunku Azizah, ketika ditabal menjadi YDPA kelapan.

“Ketika menjadi Agong, Almarhum (Sultan Iskandar Sultan Ismail) menolak untuk membuat muskat diraja dan seminggu sebelum pertabalan, ayahanda minta saya telefon ayahanda Almarhum Sultan Ahmad Shah untuk meminjam muskat. Maksudnya, hanya satu muskat dipakai dua Agong.

“Saya simpan hampir 40 tahun (muskat diraja) di rumah, berharap satu hari nanti apabila suami menjadi Agong, Tuanku boleh pakai apa yang ayahanda pakai.

“Malangnya, Tuanku tidak muat. Mungkin Tuanku angkat berat dan mungkin juga ketika dipakai oleh kedua-dua Sultan, mereka masing-masing berusia 49 tahun dan 52 tahun, sedangkan Tuanku 60 tahun.

“Saya sedih sikit sebab Tuanku tidak dapat memakai muskat itu, tetapi tak apalah, kami buat baharu,” titah baginda.

Untuk persalinan anakanda, Tuanku Azizah memaklumkan hanya anakanda bongsu memakai baju kurung Johor daripada fabrik Dutches Satin yang dipakai baginda ketika pertabalan Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sebagai YDPA Kelapan, manakala yang lain akan mengenakan baju kurung tenun.

Berita Harian X