Isnin, 29 Julai 2019 | 4:19pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan rakyat dan masyarakat luar negara apabila berlangsungnya Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, esok.

Istiadat yang berlangsung di Istana Negara itu secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai ketua utama negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menjelang upacara penting itu, pelbagai persiapan diatur teliti bagi memastikan istiadat yang bakal menyingkap kebesaran raja-raja Melayu itu berlangsung sempurna.

Kebanyakan rakyat di seluruh negara ternanti-nanti hari bersejarah itu yang akan menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki takhta negara.

Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati sekitar laluan menuju ke pintu masuk Istana Negara dihiasi poster dan kain rentang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bagi menguar-uarkan kepada rakyat mengenai istiadat itu.

Antara kawasan berkenaan ialah di Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Cangkat Semantan dan Jalan Sri Hartamas.

Suri rumah, Junaidah Kamal, 50, berkata beliau sekeluarga akan memastikan tidak terlepas menyaksikan acara bersejarah itu dan sudah membuat peringatan pada sistem dekoder televisyen di rumahnya.

“Saya amat teruja untuk menyaksikan istiadat itu dan akan memastikan anak-anak bangun awal esok supaya mereka dapat menonton acara bersejarah dan penting negara.

“Peristiwa penting ini bagus bagi mereka mempelajari sejarah dan keunikan Malaysia yang mengamalkan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Sempena istiadat itu, kerajaan mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi membolehkan rakyat di seluruh negara mengikuti acara berkenaan.

Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan saluran televisyen tempatan bermula jam 9 pagi.

Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah mencatat sejarah tersendiri apabila pasangan diraja itu masing-masing anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong ketujuh iaitu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (1979-1984) dan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan (1984-1989).

Peranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga signifikan dalam istiadat itu kerana beliau bertanggungjawab mengisytiharkan kedua-dua Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Sultan Iskandar sebagai ketua utama negara pada ketika itu.

Al-Sultan Abdullah yang meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran raja-raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkuat kuasa 6 Januari lalu.

Baginda yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari lalu dan melafaz sumpah serta menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu. – BERNAMA

Berita Harian X