Isnin, 29 Julai 2019 | 3:53pm
NAIB Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Graduan UMP pilihan utama pasaran kerja

KUANTAN: Program kejuruteraan dan teknologi ditawarkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras berterusan menggunakan model bertaraf dunia.

Antaranya melalui kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman yang menjadi contoh dalam menghasilkan graduan kompeten, holistik, berciri keusahawanan bagi menepati keperluan industri.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, berkata UMP sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

“Berada dalam kelompok 101-150 universiti muda terbaik dunia dalam pengiktirafan Quacquarelli Symonds, kita juga terus mendapat kepercayaan universiti luar negara melalui jalinan kerjasama erat universiti dan industri yang memberi impak positif terhadap keberhasilan graduan.

“Semua ini terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan UMP mencapai peratusan tertinggi iaitu 96 peratus dan pencapaian ini melepasi sasaran 80 peratus ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdepan cabaran dalam revolusi industri (IR) memerlukan graduan lebih berkeupayaan, berpengetahuan luas dan memiliki kemahiran tinggi bagi bersaing secara sihat dalam pasaran kerja.

“Untuk mempersiapkan modal insan yang kompetatif, UMP menawarkan Program Sarjana Muda Teknologi bersama Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Ini adalah bagi melengkapkan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Malaysia... selain itu, penganjuran Program CEO@Faculty oleh KPM juga dapat mendedahkan kepada pelajar UMP terhadap pengalaman kerja dan kepakaran dikongsi tokoh berkaitan industri,” katanya.

Berita Harian X