Isnin, 29 Julai 2019 | 3:30pm
(DARI kanan) Ketua Pengarah JKKP, Ir Omar Mat Piah; Ketua Pengarah Eksekutif BP Petronas Acetyls Sdn Bhd, Mohd Roslan Ismail; Bahagian Dasar Antarabangsa dan Pembangunan Penyelidikan JKKP, Ir Dr Majahar Abdul Rahman dan Pengarah JKKP Terengganu, Mohd Zahari Hitam hadir pada Majlis Sambutan BP Petronas Acetyls Sdn Bhd (BPPA) 20 Years Without Loss Time Injury (LTI) di Mesra Mall, Chukai, hari ini. - Foto Imran Makhzan

185 majikan abai keselamatan pekerja didenda RM2 juta

CHUKAI: Seramai 185 majikan culas menjaga keselamatan pekerja di seluruh negara didenda RM2 juta selepas didakwa di mahkamah oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tahun ini.

Ketua Pengarah JKKP, Ir Omar Mat Piah, berkata denda RM2 juta itu dikenakan terhadap majikan kerana pelbagai kesalahan termasuk tidak menyediakan pakaian dan peralatan keselamatan seperti topi, jaket, kasut serta tali pinggang untuk pekerja.

Katanya, JKKP juga mengeluarkan 612 kompaun atas pelbagai kesalahan dilakukan majikan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

“Jumlah kutipan kompaun diperoleh atas pelbagai kesalahan dilakukan majikan ialah sebanyak RM997,500.

“Ketika operasi mengejut dilakukan mulai awal Januari hingga Jun lalu, JKKP juga mengeluarkan 8,747 notis pembaikan dan 6,106 notis larangan,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan BP Petronas Acetyls Sdn Bhd (BPPA) 20 Years Without Loss Time Injury (LTI) di Mesra Mall, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif BP Petronas Acetyls Sdn Bhd, Mohd Roslan Ismail; Pengarah Bahagian Dasar Antarabangsa dan Pembangunan Penyelidikan JKKP, Ir Dr Majahar Abdul Rahman serta Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Hasnan Abdullah.

Omar berkata, operasi dan pemeriksaan secara mengejut akan terus dilakukan ke atas semua sektor terutama membabitkan sektor pembinaan.

“Operasi dilakukan untuk memastikan semua majikan mematuhi peraturan iaitu menyediakan tempat kerja selamat, sihat dan kondusif kerana ia faktor utama meningkatkan produktiviti pekerja, organisasi dan negara.

“Tempat kerja berisiko tinggi terhadap kesihatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) boleh menyebabkan kesan negatif bukan saja kepada keselamatan serta kesihatan, tetapi turut memberi kesan kepada organisasi dan negara," katanya.

Sementara itu, Omar berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan RM3.27 bilion untuk membayar pampasan kepada pekerja terbabit kemalangan di tempat kerja.

Katanya, seramai 35,460 pekerja terbabit kemalangan tahun lalu dan 611 daripadanya membabitkan kes kematian, selain 7,258 pekerja tempatan terbabit kemalangan di tempat kerja mengalami pelbagai penyakit disebabkan aktiviti kerja.

"PERKESO juga mengeluarkan RM7.5 juta untuk membayar pampasan insurans kepada pekerja asing pada tahun lalu," katanya.

Berita Harian X