Isnin, 29 Julai 2019 | 10:00am

Tunku Azizah gelar diri 'Musang Queen'

KUALA LUMPUR: Video tular Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dipanggil ‘kakak’ ketika membeli durian di gerai tanpa protokol dan memuat naik gambar durian dengan sudu dan garfu di Twitter, menggambarkan baginda penggemar raja buah.

Tanpa berselindung, baginda mengakui ‘hantu’ durian dan berseloroh menggelarkan diri sebagai ‘Musang Queen,’ manakala Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebagai Musang King.

Menariknya, pasangan diraja ini mempunyai cara tersendiri santap durian. Tunku Azizah Aminah Maimunah yang menyukai durian jenis Musang King dan Hijau Berserah boleh menikmati durian begitu sahaja pada bila-bila masa.

Berbanding Al-Sultan Abdullah hanya santap durian digaul bersama nasi, dinikmati dengan gulai atau kuah seperti asam pedas dan sebagainya.

“Saya suka santap durian dengan pulut dan serawa atau tempoyak serta mengikut Sunnah Nabi, iaitu mengikut jumlah yang ganjil. Contohnya, makan sama ada seulas, tiga, lima, tujuh dan berhenti pada ulas ke sembilan, ” titahnya.

Justeru, ketika musim durian sedang rancak sekarang, Tunku Azizah Aminah Maimunah mengambil peluang itu menikmatinya.

Malah, Tunku Azizah Aminah Maimunah teringin makan di gerai durian di Pulau Pinang, seperti dua tahun lalu, tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan jadual padat dengan aktiviti, termasuk persiapan sempena Hari Pertabalan.

Baginda tertawa mengenang insiden penjual durian dikenali sebagai Rafi, demam kerana terkejut apabila mengetahui ‘kakak’ yang singgah dan makan di gerainya adalah Tunku Azizah Aminah Maimunah (ketika itu Tengku Puan Pahang).

“Saya tak kisah dan marah dia. Saya mengakui banyak belajar mengenai jenis durian daripada pemuda itu. Apabila ada waktu, saya singgah ke gerainya,” titah baginda.

Bukan setakat Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Al-Sultan Abdullah menggemari durian, malah Allahyarham Ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar Ismail juga menyukai durian.

Lebih unik, durian disantap dengan susu pekat dan nasi atau diletakkan bersama air batu seperti bubur.

“Saya lebih suka santap durian dengan sudu dan garfu kerana lebih bersih, selain mahu mengelak baunya seperti yang diajar oleh nenda. Tetapi ada ketikanya saya santap dengan tangan.

“Begitu juga apabila santap nasi, Tuanku dan saya suka guna tangan. Tetapi guna tangan membuatkan bertambah dua tiga kali.

“Sebab itu suka makan guna sudu dan garfu supaya boleh kawal makan. Jadi, samalah dengan santap durian,” titah baginda.

Keratan video tular Tunku Azizah Aminah Maimunah mencemar duli berbual dengan penjual durian di Pulau Pinang.
Berita Harian X