Ahad, 28 Julai 2019 | 5:26pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Kangar, hari ini. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching beramah mesra dengan pelajar pada majlis perasmian Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Kangar, hari ini. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Tulisan Jawi dalam buku teks sejak 2016

KANGAR: Penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks sekolah akan terus digunakan sehingga tahun 2020, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau menjelaskan tulisan Jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016.

“Penggunaan tulisan Jawi di dalam buku teks sudah dilaksanakan sejak 2016 dan kalau nak diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun Empat menjelang 2020.

“Cuma kita masih membincangkan sama ada untuk mengekalkan tulisan Jawi atau seni khat dalam buku khat selepas tahun 2020 nanti,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis perasmian Penulisan Kreatif Bahasa Cina antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Semalam, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan tindakan Nie Ching, yang mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Hoe Chai turut mempersoalkan tindakan Nie Ching yang membuat pengumuman itu secara terus kepada media ketika ditanya mengenai perkara terbabit, bukan mengumumkannya secara rasmi menerusi Kementerian Pendidikan.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju penggunaan tulisan Jawi di dalam buku teks pada masa hadapan, Nie Ching berkata pihaknya belum mempunyai sebarang keputusan muktamad.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkenaan mengenai hala tuju penggunaan tulisan Jawi di dalam buku teks semalam.

“Namun ia masih di peringkat perbincangan dan belum mengambil sebarang keputusan penuh atau muktamad mengenai keputusan penggunaan tulisan Jawi pada masa hadapan,” katanya.

Berita Harian X