Sabtu, 27 Julai 2019 | 2:02pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PM bakal bertemu 5,000 waris Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka mengadakan pertemuan bersama 5,000 waris Kampung Baru pada 21 September ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, berkata pertemuan itu bagi membincangkan isu pembangunan kampung berkenaan.

Katanya, Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, dijangka akan bertemu dengan semua waris pemilik tanah Kampung Baru.

“Tujuan pertemuan adalah untuk mendapat maklum balas, persetujuan dan pandangan bagi mengetahui apa yang waris nak berhubung pembangunan.

“Deraf itu peringkat akhir dan masih banyak lagi nak teliti, kita belum sedia untuk membentangkan pelan pembangunan Kampung Baru pada masa ini seperti yang diwar-warkan sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Wilayah Persekutuan di Kompleks Sukan Setiawangsa, hari ini.

Seramai 500 peserta menyertai karnival berkenaan yang menjadi pentas pemilihan atlet untuk beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan.

Pada 19 Julai lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, dilaporkan berkata pelan perancangan pembangunan Kampung Baru akan dibentang minggu ini, bagi memberi manfaat kepada semua pihak termasuk penduduk.

Ia berikutan isu membabitkan Kampung Baru sudah berlanjutan sekian lama tanpa penyelesaian yang konkrit.

Sementara itu, menjawab isu berkenaan warga asing memonopoli bidang perniagaan kemahiran di sekitar ibu kota, Shahruddin berkata pihaknya akan melihat mekanisme memperkasakan kemahiran rakyat tempatan.

“Kita akan perkasa kemahiran warga kota selain melihat aspek penguatkuasaan, yang akan dibincangkan lagi,” katanya.

Berita Harian X