Jumaat, 26 Julai 2019 | 7:12pm

223 gerai sertai Malaysia Fest 2019 di Singapura

SINGAPURA: Sebanyak 223 gerai jualan produk tempatan dibuka pada Ekspo Malaysia Fest 2019 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berlangsung di Singapore EXPO, Changi di sini.

Ekspo berlangsung selama empat hari bermula semalam itu dianjurkan dengan kerjasama syarikat MegaXpress International Pte Ltd.

Majlis pelancaran Ekspo Malaysia Fest 2019 disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di sini, hari ini.

Antara tarikan utama festival kali ini ialah FAMA akan mempamerkan buah eksotik dari Sabah dan Sarawak seperti tarap dan buah kristal.

Pengerusi FAMA, Ishak Ismail, berkata jenis produk yang diperkenalkan pada tahun ini lebih kepada produk melambangkan negeri di Malaysia yang akan membantu melonjakkan jualan.

Katanya, gerai festival pula akan terbahagi kepada tujuh kluster iaitu kecantikan dan fesyen, makanan popular, jenama selebriti, makanan dan buah, trak makanan serta pelancongan dan perkhidmatan membabitkan pelbagai negeri, kementerian dan agensi.

“Tahun lalu, 87,000 pelawat mengunjungi Ekspo Malaysia Fest 2018 yang menempatkan 255 gerai dengan mencatatkan jualan sebanyak RM8.4 juta.

“FAMA menetapkan sasaran jualan RM10 juta dan 90,000 pelawat dijangka mengunjungi pesta sepanjang empat hari berlangsung,” katanya.

Antara fokus produk dalam Ekspo Malaysia Fest 2019 ialah produk proses Industri Asas Tani (IAT) dan cadangan penyertaan 50 peratus usahawan sedia ada bertujuan mempromosi serta memperkukuhkan produk mereka di Pasaran Singapura.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (tengah) melawat geran makanan pada Majlis pelancaran Ekspo Malaysia Fest 2019 di Singapura, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (tengah) melawat geran makanan pada Majlis pelancaran Ekspo Malaysia Fest 2019 di Singapura, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X