Jumaat, 26 Julai 2019 | 5:17pm
Skim pemilikan rumah sewa untuk dimiliki dicadangkan memberi keutamaan kepada golongan muda yang mempunyai rekod baik membayar hutang. - Foto hiasan
Skim pemilikan rumah sewa untuk dimiliki dicadangkan memberi keutamaan kepada golongan muda yang mempunyai rekod baik membayar hutang. - Foto hiasan

Utamakan pembeli punyai rekod baik bayar hutang

KUALA LUMPUR: Skim pemilikan rumah ‘rent to own’ (sewa untuk dimiliki) yang bakal dilancarkan kerajaan September ini, dicadangkan memberi keutamaan kepada golongan muda yang mempunyai rekod baik membayar hutang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Ammar Atan berkata, ini bagi memastikan hanya mereka yang sanggup membayar balik pinjaman mendapat manfaat skim berkenaan, bukan yang culas membayar hutang.

Katanya, ia juga untuk memastikan skim itu dapat membantu kumpulan sasar dalam kalangan generasi muda terkesan tekanan inflasi harga rumah semasa, sehingga berlaku lambakan unit rumah yang tidak terjual.

Beliau berkata, langkah ini dengan sendirinya diyakini mampu memperbaiki kedudukan pasaran perumahan negara.

“Pada masa sama, nilai rumah perlu dikekalkan berdasarkan nilai semasa awal penyewaan dan tidak berubah mengikut harga pasaran selepas lima tahun pelaksanaan skim itu.

“Skim itu perlu menumpukan kepada lambakan unit rumah yang tidak terjual dan seterusnya mampu menyelesaikan masalah berkenaan, khususnya dalam pasaran rumah,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dilaporkan berkata, satu skim baharu bagi pembiayaan pemilikan perumahan dikenali ‘rent to own’ bakal dilancarkan kerajaan pada September ini.

Katanya, menerusi skim itu, rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan bawah RM3,000, boleh membeli kediaman mampu milik.

Pembeli tidak perlu membayar deposit, sebaliknya terus membayar sewa dan selepas lima tahun, kementerian akan menyemak status kewangan mereka, sama ada layak membeli rumah atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Ammar berkata, skim berkenaan adalah sebahagian manifesto Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang dibentangkan pada awal 2017, sebelum diangkat menjadi dasar besar PH yang termaktub dalam Buku Harapan.

“Skim berkenaan bakal memberi manfaat kepada jutaan anak muda di negara ini, khususnya rakyat berpendapatan rendah yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan,” katanya.

Berita Harian X