Khamis, 25 Julai 2019 | 7:34pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Perasmian Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di Auditorium Seri Cempaka Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ) hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berucap pada Majlis Perasmian Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di Auditorium Seri Cempaka Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ) hari ini. - Foto BERNAMA

Pentadbiran negara tidak tergugat - TPM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan pentadbiran negara tidak akan tergugat dengan isu dalaman PKR yang berlaku ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perbezaan pandangan dalam parti politik adalah perkara biasa, namun pada akhirnya, kesatuan untuk memulihkan negara tetap menjadi keutamaan.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu juga berkata tidak timbul isu dua kem dalam PKR kerana ahli parti tetap memberi sepenuh sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Parti politik ini memang begitu, tidak semua akan sama pandangan, tapi kita bersatu, ramai yang di bawah iaitu anggota parti menyokong Presiden.

“Dalam soal (pentadbiran) negara pula, tidak ada apa-apa yang tergugat, apa yang kita mahu ada kesatuan untuk terus memulihkan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) 2019 di sini hari ini.

Beliau mengulas sama ada isu dalaman PKR termasuk isu video lucah mengaitkan menteri boleh menjejaskan pentadbiran negara.

Lembaga Disiplin PKR semalam memaklumkan akan meminta beberapa individu termasuk Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak, membuat penjelasan berhubung ungkapan jelek yang dilemparkan kepada seorang menteri.

Mengenai gesaan sebahagian besar ahli parti yang mahu Farhash dikenakan tindakan, Dr Wan Azizah berkata, perkara itu akan diteliti Lembaga Disiplin parti.

Berita Harian X