Khamis, 25 Julai 2019 | 7:27pm
Dr Wan Azizah (tengah) mencanting batik pada Majlis Perasmian Festival Kesenian & Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) di Auditorium Seri Cempaka Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ) hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Wan Azizah (tengah) mencanting batik pada Majlis Perasmian Festival Kesenian & Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) di Auditorium Seri Cempaka Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPJ) hari ini. - Foto BERNAMA

PIIACUF berupaya jadi landasan penyatuan ummah

PUTRAJAYA: Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) mampu menjadi landasan kepada penyatuan ummah, selain menggalakkan interaksi dalam kalangan peserta dan pengunjung, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata dengan menonjolkan seni budaya bercirikan Islam, festival itu dapat mengambil peranan untuk menangkis stigma terhadap Islam dengan pembabitan masyarakat pelbagai negara, ras dan latar belakang untuk menghargai kepelbagaian kesenian dan kebudayaan negara Islam.

“Mutakhir ini wujud istilah Islamofobia di mana Islam sering disalah anggap dan dikaitkan dengan pelbagai konotasi negatif yang menyumbang kepada persepsi buruk dan sikap prejudis masyarakat dunia terhadap Islam.

“Penganjuran PIIACUF sesungguhnya berlangsung tepat pada waktunya. Festival ini mampu menunjukkan sisi Islam yang berbeza, sekali gus membuktikan seni dan budaya tidak pernah dipinggirkan dalam Islam.

“Malah, seni dan budaya Islamlah yang membentuk peradaban dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Perasmian PIIACUF 2019 di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berucap merasmikan Perasmian PIIACUF 2019 di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Wan Azizah berucap merasmikan Perasmian PIIACUF 2019 di sini hari ini. - Foto BERNAMA

PIIACUF 2019 yang bermula hari ini hingga Ahad ini, dengan tema ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Islam’, menyasarkan kedatangan 350,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Festival empat hari yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu akan menampilkan 135 aktiviti merangkumi pameran aplikasi Augmented Reality (AR), konsert, ekspo buku Islamik, festival kanak-kanak serta alunan azan.

Dr Wan Azizah amat optimis PIIACUF akan menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan negara luar terutama sekali kerajaan yang berteraskan Islam.

Selain itu, beliau berkata, elemen seni dan budaya juga mampu menjana ekonomi negara, malah pada tahun lalu, hasil pendapatan daripada sektor kebudayaan negara seperti pameran kesenian dan persembahan kebudayaan mencecah RM529.8 juta.

Sehubungan itu, beliau yakin jumlah berkenaan akan bertambah seiring pertambahan pengunjung ke festival seperti PIIACUF lebih-lebih lagi negara akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa.

“PIIACUF mampu menjadi salah satu acara yang menarik pelancong luar ke negara ini dengan menambah lagi promosi dan pendedahan kepada festival itu.

“Saya amat berharap agar PIIACUF akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk melestari serta memulihara seni dan kebudayaan terutama seni budaya Islam,” katanya.

Berita Harian X