Selasa, 23 Julai 2019 | 6:27pm

4 loji tercemar mula beroperasi

SHAH ALAM: Empat Loji Rawatan Air (LRA) yang terjejas dengan pencemaran diesel di Sungai Selangor, Ahad lalu, mula beroperasi hari ini.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Unit Hal Ehwal Korporat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Abdul Wahab Nordin, berkata tindakan pantas diambil Pasukan Tindakan Kecemasan syarikat dalam menangani insiden itu menyebabkan pemulihan bekalan air dapat dilakukan segera.

“Langkah memasang penyerap minyak dan menabur sabun bertujuan menguraikan tompokan minyak di permukaan air, membolehkan pemulihan air secara berperingkat dapat dilakukan.

“Sistem Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) dan ‘Off-River Storage’ (ORS) yang diurus tadbir KSSB juga turut diaktifkan bagi membantu pencemaran disingkirkan.

“Ia sekali gus membantu kerja pembersihan dan menambah baik kualiti air sungai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Wahab berkata, KSSB akan terus memantau situasi berkenaan serta bekerjasama dengan semua pihak termasuk polis.

Kelmarin, empat LRA ditutup semula selepas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengesan minyak diesel mencemari sumber air mentah Sungai Selangor.

LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 6 petang diikuti LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) jam 8 malam dan LRA SSP1 serta LRA SSP2 pada jam 8.15 malam.

Semalam, Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata perbuatan khianat dipercayai punca pencemaran minyak diesel atau benzena di Sungai Selangor.

Berita Harian X