Sabtu, 20 Julai 2019 | 1:05pm
Salahuddin berucap pada Konvensyen NUNJI 2019 bertemakan ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ di MITC Melaka, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

Konvensyen NUNJI pentas kongsi pemikiran

AYER KEROH: Konvensyen Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI) pentas bagi ilmuan dan ahli akademik berkongsi pemikiran mempromosikan Islam sebagai agama rahmah, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, NUNJI juga berakar umbi kepada perjuangan penubuhan AMANAH dengan membuktikan naratif diperjuangkan dalam parti baharu itu adalah benar dan tepat dengan tidak mengulangi kesilapan parti terdahulu.

“NUNJI diwujudkan atas pemikiran untuk mengisi apakah Islam yang kita bawa. Ia selepas parti lama tidak mengizinkan cita-cita kita dalam memperjuangkan Islam dalam konteks negara demokrasi berbilang kaum.

“Kita menubuhkan AMANAH selepas diketepikan dalam PAS, kerana dalam hati perjalanan perjuangan mesti diteruskan. Parti ini (AMANAH) kita tubuhkan penuh tanggungjawab, bukan kerana mengejar jawatan.

“Inilah kenapa AMANAH ditubuhkan, kenapa NUNJI dilahirkan, kerana mahu memartabatkan Islam di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Konvensyen NUNJI 2019 bertemakan ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’ di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad Awang dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Antara pemimpin yang mengambil bahagian dalam konvensyen anjuran Akademi NUNJI sepanjang hari itu termasuk Mujahid yang menyampaikan ucaptama ‘Gagasan Rahmah dalam Malaysia Baharu’ dan Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyertai forum ‘Mengisi Kemenangan, Memartabatkan Islam’.

NUNJI adalah inisiatif AMANAH yang menjadi pentas untuk ilmuan dan ahli akademik memperhalusi isu kenegaraan berpaksikan pedoman syarak.

Melalui platform itu, gagasan besar yang kini menjadi gagasan pentadbiran hal ehwal Islam iaitu Gagasan Lil Al-Amin (RLA) dan program Islamisasi berasaskan Maqasid Syariah dalam kerangka model Malaysia semakin hari semakin mengakar dan membuahkan hasil positif dalam proses membentuk Malaysia menjadi negara Rahmah.

Dalam pada itu, Salahuddin turut menyeru pemimpin yang memiliki jawatan, kuasa dan kedudukan supaya terus bertanggungjawab dan kekal amanah dalam menjalankan tugas.

“Selepas kita mengharungi ombak dan lautan dengan meninggalkan PAS, anugerah kemenangan yang kita miliki hari ini harus dipikul penuh tanggungjawab.

“Di saat kita memandu kereta ‘Ferrari’ dengan memecut laju ke depan, pandanglah sejenak ‘cermin’ dan jangan lupa memandang belakang supaya kesilapan lama sentiasa dan terus dijadikan pengajaran,” katanya.

Berita Harian X