Sabtu, 20 Julai 2019 | 10:44am
PENGERUSI MPN Keadilan Negeri Kedah, Datuk Johari Abdul (tiga kiri) bersama pengerusi negeri yang lain menunjukkan surat sokongan kepada Presiden Keadilan ketika sidang media selepas mesyuarat pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan di ibu pejabat Keadilan. - Foto Zunnur Al Shafiq

3 lagi belum tandatangan - Johari

PORT DICKSON: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul mengesahkan tiga lagi Pengerusi MPN PKR negeri belum menandatangani dokumen bagi menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu tiga pengerusi berkenaan dari negeri mana yang masih belum menandatangani dokumen itu.

“Tiga lagi (belum tandatangan). Mungkin esok (hari ini). Kita akan umum esok (hari ini),” katanya ringkas ketika ditemui selepas Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021, di sini malam tadi.

Turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar.

Sehingga semalam, enam daripada Pengerusi MPN PKR negeri sudah menandatangani dokumen sokongan itu bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk memimpin parti itu.

Selain Johari sendiri, lima lagi ialah Amran Kamarudin (Perlis), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan).

Jumlah tandatangan diterima itu sekali gus menunjukkan sokongan penuh daripada pemimpin PKR negeri terhadap Anwar walaupun terdapat khabar angin mendakwa berlaku perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan.

Berita Harian X