Khamis, 18 Julai 2019 | 4:13pm
AHLI Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. - Foto Asyraf Hamzah
AHLI Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid. - Foto Asyraf Hamzah

Kerajaan dituntut selesai tunggakan royalti penggiat seni

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu menyelesaikan isu bayaran royalti kepada penggiat seni berjumlah RM16.4 juta yang didakwa tertunggak sejak 2018.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata sudah tiba masanya penggiat seni mendapat hak yang dikatakan sudah lama tertangguh, malah ada yang sudah meninggal dunia.

“Saya harap menteri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) memanggil Jawatankuasa PRISM (Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis Berhad) segera dan menyelesaikan isu ini.

“Mereka membantu kita dengan karya tetapi penderitaan hidup mereka tiada siapa yang bela,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri beberapa penggiat seni tanah air.

Pada 1 Julai lalu, BH melaporkan isu berkaitan agihan royalti penggiat seni yang didakwa tertunggak sejak 2017 dan 2018.

Isu itu tercetus apabila Music Rights Malaysia Berhad (MRM) yang ditubuhkan kerajaan pada 2015, hanya membuat bayaran agihan kepada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) dan Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

Ia dibantah PRISM Berhad terhadap MRM atas kegagalan mereka membuat bayaran kategori pelaku iaitu penyanyi dan pemuzik berdaftar.

Pengerusi MRM, Tun Zaki Azmi bagaimanapun menjelaskan, royalti RM16.4 juta itu selamat dalam simpanan pihaknya, namun belum dapat diagih selagi jumlah kegunaan lagu dan bilangan ahli PRISM serta RPM belum siap dihitung.

Selain itu, katanya, MRM masih menunggu Jabatan Insolvensi menyelesaikan isu berkaitan pembatalan lesen PRISM sebagai badan pelesenan.

Dalam maklum balasnya, Saifuddin dilaporkan berkata, pihak berkepentingan dalam industri hiburan akan mengemukakan cadangan bertulis kepada KPDNHEP berhubung isu itu.

Abdullah Sani mengakui maklum mengenai kenyataan Saifuddin itu, namun belum melihat jalan penyelesaian.

Sementara itu, Pengerusi PRISM, Anuar Dahlan dalam satu kenyataan, menegaskan isu pembatalan PRISM sebagai badan pelesenan belum selesai kerana Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tersilap dari segi prosedur dan pematuhan Akta Hak Cipta 1987 manakala ahli PRISM masih mempunyai hak terhadap kutipan royalti bagi 2019.

“Jika penggiat seni terus berdiam diri dan tidak melakukan reformasi terhadap pengurusan badan pelesenan masing-masing, pendapatan penggiat seni akan terus dikaut atas pelbagai alasan,” katanya.

Berita Harian X