Ahad, 14 Julai 2019 | 4:54pm
Tunku Azizah (tengah) membuat lawatan ke Bengkel Tenun Pahang Di Penjara Penor. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

'Raja Permaisuri beri sinar baharu kehidupan'

PEKAN: Keprihatinan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap penghuni Penjara Penor di sini, memberi sinar kepada seorang bekas banduan menjalani kehidupan baharu sebagai penenun.

Pengalaman yang dikutip Mat Ngek, 40, (bukan nama sebenar) selama tujuh tahun berada di penjara sebagai penenun Tenun Pahang memberinya peluang bekerja di Pusat Tenun Pahang Diraja, Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi di sini sejak dibebaskan, Februari lalu.

Bekas pesalah jenayah samun itu berkata, Tunku Azizah memberi peluang kepadanya membina kehidupan baharu selepas menawarkan tempat di pusat terbabit sehingga berupaya berumah tangga semula, semalam.

“Selepas keluar penjara, Tuanku menyuruh saya bekerja di sini dan berpesan supaya menjaga tingkah laku serta kekal bekerja di pusat ini.

“Sebelum ini memang saya tidak tahu langsung mengenai tenun sehinggalah dimasukkan ke Penjara Penor. Di situ, kami diajar menenun dan saya pernah hasilkan beberapa persalinan untuk kerabat,” katanya.

Ditemui ketika lawatan Tengku Azizah ke kompleks itu, Mat Ngek pernah menghasilkan dua jenis kain tenun untuk persalinan perkahwinan anakanda Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan persalinan bersiram untuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi istiadat pertabalan baginda.

“Saya mengambil masa enam bulan untuk mahir menenun dan gembira apabila hasil kerja diterima kerabat diraja. Bila bercerita kepada orang, mereka tak percaya.

“Tuanku bagi peluang untuk kita teruskan hidup dan saya rasa dihargai. Tuanku seorang yang baik dan prihatin sehinggakan setiap kali baginda datang melawat Penjara Penor, Tuanku akan bertanya kepada kami, nak makan apa dan pasti akan ada makanan yang sampai.

“Sekarang, inilah tempat saya dan saya sudah ‘cuci tangan’ daripada kerja sebelum ini (menyamun),” katanya.

Mengenai perkahwinannya dengan wanita yang mahu dikenali sebagai Leha, 54, Mat berkata, perkenalan mereka bermula di laman sosial Facebook.

Pasangan berasal dari Terengganu itu bernikah di Pejabat Agama Islam Kuantan semalam dan gembira apabila mendapat perhatian Tuanku Azizah.

Sementara itu, Leha berkata, Tuanku Azizah menasihatinya supaya mengurangkan cemburu memandangkan kompleks terbabit mempunyai ramai petugas wanita.

“Kami masing-masing pernah berkahwin dan keluarga saya faham status suami sebelum ini, malah empat anak saya berusia antara 20 dan 35 tahun menerima baik kehadiran

“Saya menerima lamaran selepas sebulan berkenalan pada Ramadan lalu kerana keikhlasan dan kejujuran dia,” katanya.

Terdahulu, Tuanku Azizah mencemar duli ke Penjara Penor dengan ditemani anakanda Sultan Terengganu, Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan dan meluangkan masa kira-kira dua jam melawat bengkel tenun di dalam penjara.

Berita Harian X