Sabtu, 13 Julai 2019 | 5:34pm
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kiri) melihat tanjak milik almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang pernah dipakai ketika pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 di Muzium Sultan Abu Bakar. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Al-Sultan Abdullah memakai tanjak, samping turun-temurun

PEKAN: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka memakai tanjak, samping dan bengkung turun-temurun pada Hari Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, 30 Julai ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, baginda mahu melihat suaminya memakai persalinan itu yang pernah dipakai Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Titah baginda, perancangan asalnya mahu Al-Sultan Abdullah memakai Muskat Diraja yang pernah dipakai Almarhum Sultan Ahmad Shah bersama tanjak, samping dan bengkung diraja ketika Almarhum ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7, 40 tahun lalu.

“Saya sangka muat kalau suami saya pakai (Muskat Diraja), sebaliknya, suami saya lagi besar daripada Almarhum Paduka Ayahanda dan bapa mentua Tuanku (Yang di-Pertuan Agong ke-8,

Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi). Ketika dipakai oleh kedua-dua Sultan, mereka berusia 48 dan 42 tahun.

“Jadi, saya bercadang untuk Tuanku memakai tanjak, samping dan bengkung yang pernah dipakai Paduka Ayahanda bersama Muskat Diraja. Namun, bila ditanya kepada pihak muzium, tiada siapa yang peduli mengenai persalinan itu kecuali Muskat yang disimpan oleh pihak muzium.

“Bila saya ke Istana Abu Bakar, saya temui persalinan ini (tanjak, samping dan bengkung) dan saya akan persembahkan kepada Tuanku setelah pulang ke Istana Negara untuk meminta perkenan Tuanku memakainya bagi mengambil berkat,” titah baginda.

Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah demikian kepada media ketika membuat lawatan mengejut baginda ke Muzium Sultan Abu Bakar di sini, untuk bertemu dengan kenalan baginda yang ditemubual media sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Azizah Aminah Maimunah bertitah, persalinan Muskat Diraja itu turut pernah dipakai oleh almarhum ayahandanya, Sultan Iskandar, ketika ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-8.

“Bagaimanapun, Tuanku ada membuat Muskat yang baharu, tetapi, saya mahu tuanku pakai bersama tanjak, samping dan bengkung yang pernah dipakai Paduka Ayahanda.

“Saya ambil (Muskat Diraja) sudah lama dan simpan sendiri kerana berfikir, kalau Tuanku diizinkan Allah menjadi Agong, saya mahu Tuanku memakainya. Disebabkan tidak muat, saya akan mohon perkenan Tuanku memakai persalinan lain kerana tanjak ini satu-satunya tanjak yang ada lambang Istana Negara,” titah Raja Permaisuri Agong.

Baginda bertitah, gambar kenangan Al-Sultan Abdullah bersama Almarhum Bonda dan Ayahanda yang ditemui di bilik simpanan pakaian diraja di Istana Abu Bakar, akan turut dimuatkan dalam buku cenderamata untuk Hari Pertabalan nanti.

Berita Harian X