Sabtu, 13 Julai 2019 | 5:13pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. - NSTP/Salhani Ibrahim
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. - NSTP/Salhani Ibrahim

MOA, China bekerjasama bantu tingkatkan pengeluaran padi

KOTA BELUD: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan bekerjasama dengan China untuk membawa teknologi berkaitan penanaman padi bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata ini susulan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tertarik bagaimana China dapat mengekalkan bekalan padi atau beras mereka selama setahun untuk kegunaan kira-kira 1.4 bilion rakyatnya.

“Dalam lawatan bersama Perdana Menteri ke China baru-baru ini, beliau tertarik dengan teknologi yang digunakan oleh negara itu berkaitan penanaman padi.

“Kita sahut hasrat Perdana Menteri agar Malaysia khususnya MOA dapat bekerjasama dengan China agar dapat membawa teknologi berkaitan termas yang mana hanya dengan kadar air dua inci atau lima sentimeter, mereka boleh menanam padi dan mengeluarkan hasil lapan tan sehektar,” katanya pada majlis Penyerahan Kunci Jentera Penuai di Kawasan Penanaman Padi, Kampung Merabau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong; Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan; Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla; Ketua Kampung Merabau, Huyah Ubin dan Pengerusi Kumpulan Pengguna Air (KPA) Kampung Merabau, Samdin Edam.

Salahuddin berkata, kementeriannya juga bercadang untuk mengadakan lawatan ke Hainan, China iaitu lokasi penanaman padi yang berjaya di negara berkenaan.

“China adalah destinasi kita dalam usaha memajukan industri penanaman padi dengan teknologi baharu di negara ini termasuk di kawasan IADA di Sabah

“Kita bukan hanya mahu bekerjasama dalam teknologi berkaitan penanaman padi tetapi juga penyelidikan lain yang baharu termasuk baja dan cara menyuburkan tanah,” katanya.

Mengenai majlis Penyerahan Kunci Jentera Penuai, Salahuddin bberharap pemberian mesin itu akan membantu pesawah di kawasan IADA di Kota Belud.

“MOA dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah akan sentiasa bekerjasama agar dapat membantu petani di negeri ini

“Ia adalah hasil daripada program promosi mekanisasi dan automasi agro makanan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) IADA Kota Belud yang diharap dapat membantu petani di Kampung Merabau meningkatkan sumber pendapatan dan hasil pengeluaran padi negara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X