Khamis, 11 Julai 2019 | 3:14pm
Syarikat pengeluar minuman sedia diminum boleh mengelak daripada dikenakan cukai eksais minuman bergula dengan mengurangkan kuantiti bahan itu dalam produk mereka. - Foto hiasan
Syarikat pengeluar minuman sedia diminum boleh mengelak daripada dikenakan cukai eksais minuman bergula dengan mengurangkan kuantiti bahan itu dalam produk mereka. - Foto hiasan

Kurangkan gula boleh elak cukai - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar minuman sedia diminum boleh mengelak daripada dikenakan cukai eksais minuman bergula dengan mengurangkan kuantiti bahan itu dalam produk mereka supaya berada di bawah nilai ambang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pelaksanaan cukai minuman bergula bermula 1 Julai lalu pada dasarnya tidak akan membebankan syarikat pengeluar terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) jika mereka berbuat demikian.

Katanya, setakat ini Kementerian Kewangan tidak menerima bantahan daripada PKS dan pemilik restoran atau warung apabila cukai minuman bergula dilaksanakan.

"Saya akui kementerian ada menerima bantahan daripada syarikat besar kerana mereka tertakluk kepada piawai ditetapkan dalam industri pembungkusan minuman air.

"Bagaimanapun, (bantahan) dari kedai tidak ada satu pun kerana mereka tidak terbabit. Kalau teh tarik atau kopi ia tidak berkaitan langsung. Minuman yang dibancuh di warung atau di kedai tiada kaitan kerana ia bukan minuman berbungkus sedia diminum.

"Kepada pihak PKS, kita sudah jelaskan dalam aspek ini kalau kurangkan kandungan gula di bawah tahap ditetapkan, mereka tidak akan dikenakan duti eksais. Kalau melebihi tahap ditetapkan barulah kena cukai. Mudah saja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar bertanya apakah kesan akan ditanggung pihak PKS susulan pelaksanaan cukai minuman bergula sejak 1 Julai lalu.

Mengikut garis panduan dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), hanya produk yang mengandungi gula melebihi 5 gram (g) bagi setiap 100 mililiter (ml) air akan dikenakan cukai.

Terdahulu, Guan Eng berkata, pelaksanaan duti eksais terhadap produk minuman bergula terkandung dalam strategi digariskan Kementerian Kesihatan di bawah Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan 2016-2025.

Katanya, pengenalan cukai ini juga bertujuan untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan atau minuman bergula secara berlebihan.

Berita Harian X