Khamis, 11 Julai 2019 | 2:41pm
TIMBALAN Perdan Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di Beijing, hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Perdan Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di Beijing, hari ini. - Foto BERNAMA

Lawatan rasmi ke China berjaya capai matlamat - Dr Wan Azizah

BEIJING: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan lawatan rasminya ke China selama empat hari, berjaya mencapai matlamat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan meningkatkan persefahaman sedia terjalin di antara Malaysia dan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri yang mengakhiri lawatan empat harinya pada hari ini, berkata selain kerjasama dalam bidang politik dan ekonomi, Kerajaan Malaysia juga berminat untuk menjalin kerjasama dalam mempelajari teknologi terkini dan kepakaran dimiliki republik berkenaan dalam beberapa bidang.

“Saya telah meminta agensi-agensi Malaysia yang berkenaan untuk mengambil tindakan susulan dengan agensi-agensi China yang berkaitan untuk memastikan persetujuan yang dicapai akan terlaksana,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah melakukan lawatan ke Pusat Pemulihan dan Penyelidikan Masalah Pendengaran dan Percakapan bagi Kanak-Kanak di China sebagai agenda terakhir dalam rangka lawatan rasmi beliau di China yang bermula Isnin lalu.

Mengulas lanjut, beliau turut tertarik dengan kepakaran dimiliki China yang mampu mengesan sebarang masalah dan ketidakupayaan bayi seawal berusia tiga bulan.

“Di sini, mereka mampu mengesan masalah lebih awal, merawat dan memulih selain melakukan penyelidikan dan menyediakan perkhidmatan ‘home school’ kepada mereka yang tidak berupaya ke sekolah.

“Kaedah yang diamalkan ini boleh kita amalkan di negara kita dan pusat itu menawarkan untuk membantu kita mencapai hasrat itu. Ini antara perkara yang akan kita perhalusi,” katanya.

Beliau berkata, pada pertemuan dengan pemimpin kanan China pada hari kedua lawatan, kedua-dua pihak berpuas hati dengan status hubungan dua hala yang sedia erat dan komited untuk sama-sama memperkukuhkan lagi hubungan itu.

“Antara persetujuan yang dicapai adalah untuk mempelopori kerjasama dalam bidang tadbir urus yang baik dan anti rasuah serta kerjasama dalam usaha memperkasa wanita, penuaan masyarakat dan program pembangunan bagi kanak-kanak istimewa,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata persetujuan juga dicapai dalam usaha mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan terutama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Selain itu, China telah menzahirkan kesediaan untuk mengimport lebih banyak produk agro komoditi Malaysia termasuk kelapa sawit dan getah, di samping memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang pengurusan dan pengurangan risiko bencana alam,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada pertemuan bersama pelabur China semalam, sebilangan pelabur menyatakan minat untuk mempelopori usaha sama membangunkan Lembah Wawasan Malaysia.

Mengulas lawatan beliau ke Huawei semalam, Dr Wan Azizah berkata, Huawei menyatakan kesediaan untuk mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan terutama latihan kepada pelajar TVET Malaysia, pembangunan bilik darjah pintar dan dan sistem data raya.

“Syarikat pengeluar produk telekomunikasi terbesar dunia itu juga bersedia untuk membantu Malaysia dalam membangunkan bandar pintar serta selamat dan aplikasi perkhidmatan dalam sektor kesihatan dan perubatan.

“Saya juga mengundang Naib Presiden, Wang Qishan; Naib Perdana Menteri, Sun Chulan serta Penasihat Negara, Wang Yong untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bagi merapatkan lagi jalinan persahabatan yang sedia ada,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X