Isnin, 8 Julai 2019 | 5:14pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Beijing, hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke China. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Beijing, hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke China. - Foto BERNAMA

Dr Wan Azizah tiba di Beijing untuk lawatan rasmi

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke China.

Pesawat yang membawa beliau bersama rombongannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada kira-kira jam 3.20 petang waktu tempatan dan sebaik tiba, beliau disambut oleh Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di China, Nuryante Mohd Yazid.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Dr Wan Azizah ke China selepas menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Atur cara lawatan beliau akan dimulakan dengan majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di sini, malam ini.

Dalam rangka lawatan ini, Dr Wan Azizah dijadualkan menemui beberapa pemimpin kanan China untuk berbincang mengenai perkara berkaitan hubungan dua hala di samping isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Kementerian Luar, dalam kenyataan sebelum ini, memaklumkan lawatan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneruskan usaha meningkatkan kerjasama strategik.

Tumpuan utama adalah dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, hal ehwal wanita, pertanian, pendidikan, pengurusan bencana, kebudayaan dan pelancongan. - BERNAMA

Berita Harian X