Sabtu, 6 Julai 2019 | 3:51pm
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan EMKAY, Zainon Kasim (kiri) melihat masyarakat orang asli menjahit selepas merasmikan Bengkel Latihan Kemahiran di Kampung Sungai Tiang Royal Belum, Gerik. - Foto Abdullah Yusof
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan EMKAY, Zainon Kasim (kiri) melihat masyarakat orang asli menjahit selepas merasmikan Bengkel Latihan Kemahiran di Kampung Sungai Tiang Royal Belum, Gerik. - Foto Abdullah Yusof

Pentauliahan kemahiran khusus untuk Orang Asli diperkenal

GERIK: Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan sistem pentauliahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dapat disesuaikan dengan penempatan dan budaya masyarakat Orang Asli, sekali gus mengembangkan kemahiran mereka ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar, berkata pendekatan yang diterapkan melalui sistem itu membuka peluang lebih luas kepada golongan masyarakat berkenaan bagi mengembangkan kemahiran yang dimiliki.

Katanya, pelaksanaan sistem pentauliahan itu juga memperkasakan latihan kemahiran dalam kalangan Orang Asli yang membolehkan mereka bersaing di pasaran kerja pada masa hadapan.

“Kebanyakan Orang Asli ada kemahiran, tetapi tiada sijil. Jadi kita akan membuat pensijilan kepada mereka. Bagi pensijilan SKM, antara kaedah boleh diguna adalah pentaulihan secara modular.

“Ia akan membolehkan Orang Asli memasuki kursus jangka pendek secara sambilan, sama ada di pusat latihan atau di mana-mana yang boleh kita iktiraf sebagai pusat latihan.

“Setiap kursus jangka pendek ini mewakili satu unit kompetensi dalam kurikulum SKM, mengumpulkan berapa kursus pendek akan melayakkan pelajar sehingga mendapatkan pensijilan SKM,” katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu membuat lawatan kerja ke petempatan Orang Asli Kampung Sungai Tiang, Royal Belum kelmarin dan merasmikan program khas latihan kemahiran, kerjaya dan keusahawanan golongan khas Orang Asli di kawasan Hutan Royal Belum, semalam.

Yang turut menyertai lawatan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Emkay, Zainon Kasim.

Mahfuz berkata, pengiktirafan pencapaian terdahulu juga adalah satu lagi kaedah pensijilan SKM yang boleh diadaptasi terhadap masyarakat Orang Asli.

“Sekarang masyarakat Orang Asli kebanyakannya memang sudah menjalani latihan berasaskan kemahiran, namun tanpa tauliah.

“Jadi, menerusi hasil pencapaian terdahulu, iaitu kerja kemahiran mengeluarkan produk kemahiran seperti jahitan dan kraftangan, mereka boleh diberikan sijil SKM oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata, Kampung Sungai Tiang akan menjadi lokasi projek rintis bagi melaksanakan sistem pentauliahan berkenaan.

Katanya, program yang dijayakan dengan kerjasama Yayasan Emkay dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu bertujuan membangunkan kemahiran masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Tiang.

“Kita akan melihat bagaimana modul yang boleh dibangunkan bersesuaian dengan tahap dan budaya masyarakat Orang Asli di sini sebelum ia dikembangkan ke penempatan Orang Asli yang lain.

“Ini kerana, kita tidak boleh menjangkakan di sini (perkampungan Orang Asli) adalah sama seperti institusi kemahiran lain seperti di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) atau di mana-mana,” katanya

Pada masa sama, katanya, sistem pendidikan dalam negara juga harus memastikan masyarakat itu mampu keluar berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat lain.

“Oleh sebab itu, kita perlu mengangkat Orang Asli yang berjaya dalam kehidupan mereka. Bagi saya, mereka harus dilihat sebagai ikon kepada masyarakat Orang Asli dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Berita Harian X