Khamis, 4 Julai 2019 | 1:37pm
Dari kanan, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye; Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh; Pengurus Besar ASEAN dan ANZ Honeywell, Raj Singh dan Presiden ASEAN Honeywell, Brian Davis pada majlis menandatangani MoU antara NIOSH dan Honeywell, di Kuala Lumpur. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

MOF perlu beri rebat cukai kepada majikan beli PPE

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menyerahkan senarai cadangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kewangan untuk diberikan pertimbangan rebat cukai.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Bahagian Cukai Kementerian Kewangan menyambut baik cadangan beliau sebelum ini dan meminta NIOSH untuk menyediakan senarai PPE terbabit.

Cadangan berkenaan adalah antara langkah diambil untuk membantu menurunkan harga PPE terutama yang diimport susulan rungutan pelbagai pihak tidak mampu untuk membelinya.

“Antara PPE berkenaan termasuk topeng muka yang perlu dipakai ketika berada di kawasan tercemar dengan bahan kimia seperti insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

“NIOSH amat berbesar hati dengan maklum balas positif berkenaan dan akan menyerahkan memorandum yang mengandungi cadangan senarai PPE terbabit dalam tempoh terdekat selepas mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara NIOSH dan Honeywell International Sdn Bhd, hari ini.

Dalam pada itu, Lam Thye juga berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan supaya rebat berkenaan boleh dimasukkan di bawah Belanjawan 2020.


Presiden ASEAN Honeywell, Brian Davis (kiri) menunjukkan peralatan yang dihasilkan Honeywell kepada Tan Sri Lee Lam Thye.

“Jika harga PPE dapat diturunkan, lebih ramai majikan mampu membelinya dalam jumlah yang lebih besar untuk pekerja mereka. Kita mahu mewujudkan situasi menang-menang di mana semua pihak akan mendapat faedah daripada penurunan harga PPE ini,” katanya.

NIOSH juga katanya, akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memasyarakatkan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik supaya ia dapat diamalkan di semua peringkat.

Katanya, adalah penting untuk memastikan budaya KKP yang baik diamalkan secara berterusan melalui program kesedaran bermula dari peringkat sekolah.

“Undang-undang semata-mata tidak akan mampu menjadikan KKP yang baik sebagai budaya. Apa yang penting adalah mewujudkan sikap dan pemikiran yang betul dalam kalangan majikan dan pekerja termasuk dalam aspek penggunaan PPE,” katanya.

Lam Thye berkata, NIOSH sudah mengorak langkah untuk memasyarakatkan KKP melalui pelbagai program di peringkat sekolah, organisasi kerajaan dan swasta serta dalam kalangan pengamal media.

Mengenai MoU yang dimeterai hari ini, Lam Thye berkata, ia bertujuan memperkasa hubungan antara NIOSH dan Honeywell, syarikat multinasional yang terbabit dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan angkasa, teknologi bangunan dan maklumat selain membekalkan pelbagai jenis PPE.

“NIOSH akan bekerjasama dengan Honeywell dalam pelbagai bidang termasuk latihan dan penyebaran maklumat selain mengadakan seminar dan berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan amalan KKP terbaik,” katanya.

Berita Harian X