Rabu, 3 Julai 2019 | 4:56pm
Sultan Nazrin berkenan menyampaikan penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong kepada Muhammad Ammar Muhammad Sani (kiri) pada Majlis Penganugerahan Penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sesi Pengajian 2019/2020 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Sultan Nazrin kurniakan Biasiswa YDPA kepada 10 pelajar

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2019 kepada 10 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara di sini, hari ini.

Semua penerima biasiswa itu dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi dan sains dan teknologi di pelbagai universiti tempatan dan luar negara.

Enam yang menerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah Saira Bannu Baharuddin, pelajar Geosains Petroleum di Imperial College London, United Kingdom; R. Harishini (Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM); Nur Liyana Mohammed Yusof (Sains Bioperubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Muhammad Ammar Muhammad Sani (Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Qistina Mohamad Ludin (Tenaga Keterbaharuan, UKM) dan Nik Syahirah Aliaa Nik Sharifulden (Kejuruteraan Biomedikal, USM).

Sementara itu, pelajar yang menerima biasiswa bagi pengajian Sarjana ialah Nurul Syuhadah Yakath Ali (Sains Kemasyarakatan (Ekonomi), USM); Ang Zi Qing (Matematik, USM); Muhammad Afiq Farahi Abd Rahim (Kejuruteraan Aeroangkasa, USM) dan Chow Yoke Yue (Sains Perubatan, UKM).

Sehingga kini, BYDPA sudah menaja 161 pelajar, membabitkan 81 pelajar di peringkat PhD dan 80 lagi di peringkat Sarjana sejak diperkenalkan pada 2006.

Turut hadir pada majlis penganugerahan biasiswa itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Borhan Dolah, dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Sementara itu, Harishini, 25, yang ditemui selepas majlis itu, berkata beliau bercadang mendalami kajian mengenai kanser payudara bagi menambah baik rawatan yang terdapat di Malaysia.

“Saya rasa perlunya ada satu kajian mengenai penyakit itu dan saya akan mengkaji kaedah semula jadi yang boleh dilakukan untuk menghalang pertumbuhan kanser dalam sistem imunisasi badan,” katanya.

Bagi Muhammad Ammar, 24, biasiswa yang diterimanya akan digunakan sebaiknya untuk melakukan kajian yang memberi fokus kepada industri Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang semakin meluas di Malaysia.

“Kajian saya mengenai keberkesanan pembelajaran kepada pelajar menggunakan peralatan realiti maya berbentuk kandungan permainan bagi menarik minat golongan muda untuk belajar,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X