Isnin, 1 Julai 2019 | 1:04pm
DR Mujahid Yusof Rawa.
DR Mujahid Yusof Rawa.

Mujahid nafi sifatkan laporan penindasan sebagai berita palsu

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menafikan kononnya beliau menyifatkan laporan penindasan umat Islam di China sebagai berita palsu.

Katanya, laporan diterbitkan portal Free Malaysia Today itu mengelirukan, tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan ucapannya yang disampaikan ketika lawatan kerja di Xinjiang, China.

“Dalam ucapan saya, tiada perkataan Xinjiang mahupun etnik Uighur yang disebut (bagi menggambarkan ia berita palsu).

“Perkataan ‘berita palsu’ itu digunakan bagi memberi gambaran bahawa berita palsu mampu menjejaskan hubungan antara negara dan masyarakat.

“Contohnya di Malaysia, (berita kononnya) orang India kena tindas. Berita itu akan sampai kepada Kerajaan India dan orang Islam minoriti di India akan jadi mangsa. Itu konteks ucapan saya. Saya tak kata Xinjiang itu berita palsu dan sebagainya.

“Sehubungan itu, laporan portal Free Malaysia Today berkenaan sangat tidak tepat dan tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jumaat lalu, portal berita terbabit yang memetik ucapan Mujahid di Xinjiang, mendakwa Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’.

Semalam, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dilaporkan mahu mendapatkan penjelasan Mujahid, berhubung kenyataan mengenai isu hak asasi masyarakat minoriti di Xinjiang.

Ia susulan kontroversi status Mujahid di Facebook sebelum ini, yang menggunakan istilah ‘Institusi Latihan dan Vokasional’ bagi menggambarkan apa yang didakwa pelbagai pihak sebagai kem tahanan etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang.

Mengulas status Facebook itu, Mujahid berkata, perkara itu disalah tafsir pihak lain, sedangkan status itu tidak pun mengkritik atau menyokong apa-apa perkara yang dikatakan berlaku di Xinjiang.

“Status di Facebook itu bukan kenyataan atau apa-apa yang mengatakan saya mengkritik, menyokong atau memuji, sebaliknya ia hanya maklumat mengenai aktiviti saya di Xinjiang.

“Yang buat rumusan itu bukan saya, orang lain. Itu bukan masalah saya... itu masalah kamu,” katanya yang enggan mengulas ketika ditanya sama ada wujud atau tidak kem tahanan Uighur beragama Islam di Xinjiang.

Berita Harian X