Isnin, 1 Julai 2019 | 10:54am
YEO Bee Yin (kiri) diiringi Mohd Khuzzan (dua dari kanan) melawat keadaan di Sekolah Kebangsaan Kopok yang terjejas berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
YEO Bee Yin (kiri) diiringi Mohd Khuzzan (dua dari kanan) melawat keadaan di Sekolah Kebangsaan Kopok yang terjejas berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

85 kumpulan pakar dikerah kesan punca pencemaran udara

PASIR GUDANG: Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar pagi ini mengerahkan 85 kumpulan pakar dilengkapi alat pengesan gas melakukan bacaan kualiti udara secara serentak di kawasan sekolah berisiko.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata ia bagi membolehkan cerapan bacaan kualiti udara dilakukan dengan lebih bersepadu dan terperinci, sekali gus mencari punca sebenar pencemaran udara di sekitar kawasan ini sejak minggu lalu.

“Punca pencemaran udara sejak minggu lalu sukar dikesan kerana insiden berlaku di lokasi berbeza yang berjarak jauh dengan radius 13 kilometer dan tiada kaitan geografi untuk mengaitkannya.

“Peralatan termasuk Gasmate akan turut dibawa bagi memantau bacaan nilai Volatile Organic Compund (VOC) benda asing di 85 lokasi pemantauan termasuk mengesan kemungkinan kehadiran gas kimia secara khusus.

“Insiden pencemaran udara sejak minggu lalu berbeza dengan bencana sisa kimia berbahaya Sungai Kim Kim kerana ia berlaku di lokasi berbeza yang jauh antara satu sama lain.

“Malah, saya akan mengadakan pertemuan tertutup dengan industri di Pasir Gudang petang ini bagi berbincang mengenai masalah pencemaran udara di sini, ” katanya pada sidang media di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

BH hari ini melaporkan, ratusan murid, pelajar dan guru mengalami sesak nafas dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara yang berulang lagi selepas insiden sama kira-kira dua minggu lalu, hanya selepas dua jam sekolah dibuka semalam.

Semua 111 sekolah di sini sebelum ini diarah tutup lima hari sejak 25 Jun lalu, bersama tiga institusi pengajian tinggi (IPT), 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta sebelum dibenar dibuka semula semalam.

Sementara itu, Bee Yin berkata tujuh sampel air kencing dan darah daripada mangsa terjejas kes pencemaran udara sedang dianalisis Jabatan Kimia secara terperinci dan keputusannya akan dimaklumkan kepada umum.

“Pegawai dan kakitangan kami sedang melakukan yang terbaik termasuk menambah baik gerak kerja bagi membolehkan isu pencemaran Pasir Gudang ditangani dengan sebaiknya, ” katanya.

Berita Harian X