Ahad, 30 Jun 2019 | 2:29pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah). - Foto BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar (tengah). - Foto BERNAMA

130 pelajar terjejas pencemaran udara - EXCO

PASIR GUDANG: Masalah pencemaran udara menjejaskan kesihatan 130 pelajar dan tiga guru daripada 15 sekolah di sekitar kawasan ini, dalam kejadian terbaru pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata pencemaran udara mulai dikesan sejak jam 10 pagi tadi dengan simptom sama seperti yang berlaku minggu lalu.

“Hampir kesemua 130 pelajar yang mengalami simptom muntah dan sesak nafas ini belajar di kelas sama ada tingkat tiga atau empat.

“Setakat ini, 30 pelajar dan tiga guru dirujuk ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai untuk rawatan lanjut.

“Semua 111 sekolah di Pasir Gudang juga akan kekal dibuka esok dengan semua kelas pelajar di tingkat tiga dan empat akan dipindahkan di tingkat bawah,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan.

Pagi tadi, BH melaporkan puluhan murid dan pelajar beberapa sekolah sekitar kawasan ini terjejas dipercayai akibat pencemaran udara selepas kira-kira dua jam sekolah dibuka.

Tinjauan BH pagi tadi mendapati pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort menjadi sekolah terawal terjejas apabila dua pelajarnya mengalami simptom muntah dan sesak nafas kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Ditanya bagaimana kerajaan negeri mahu memberi jaminan keadaan pencemaran udara di Pasir Gudang terkawal, Mohd Khuzzan berkata anggota keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan akan terus bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bacaan kualiti udara di sekitar Pasir Gudang tidak boleh dijangkakan dan kerap berubah-ubah mengikut arah tiupan angin, namun apabila cerapan dibuat, kualiti udara normal.

“Kita akan terus memantau bacaan kualiti udara di kawasan berisiko. Esok, Insya Allah, keadaan akan lebih baik, ” katanya.

Berita Harian X