Sabtu, 29 Jun 2019 | 4:11pm
Kementerian sedang menjalankan proses pemutihan bagi mengenal pasti jumlah sebenar pesawah di seluruh negara, sekali gus mengelak berlaku ketirisan pengagihan subsidi baja. - Foto hiasan
Kementerian sedang menjalankan proses pemutihan bagi mengenal pasti jumlah sebenar pesawah di seluruh negara, sekali gus mengelak berlaku ketirisan pengagihan subsidi baja. - Foto hiasan

Proses pemutihan pesawah, elak ketirisan subsidi baja

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menjalankan proses pemutihan bagi mengenal pasti jumlah sebenar pesawah di seluruh negara, sekali gus mengelak berlaku ketirisan pengagihan subsidi baja.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata proses pemutihan itu dijalankan dari semasa ke semasa termasuk membabitkan keseluruhan petani dan nelayan.

Beliau mengakui pendekatan pengagihan subsidi baja perlu diubah bagi mengelak berlaku penyelewengan berterusan.

“Sejak saya mula masuk pejabat dulu lagi, dari semasa ke semasa memang kita membuat pemutihan bertujuan mendapatkan fakta dan angka terkini jumlah petani khususnya pesawah di seluruh negara termasuk pemutihan nelayan.

“Jadi, berdasarkan proses pemutihan itu, kita masih mengumpulkan fakta dan bakal memuktamadkan jumlah sebenar pesawah supaya tidak berlaku penyelewengan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara (AMANAH), di sini, hari ini.

Presiden Parti AMANAH, Mohamad Sabu (empat dari kiri) bersama Salahuddin (tiga dari kanan) meraikan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka AMANAH di Kawasan Kejiranan Semarak. - Foto Rohanis Shukri
Presiden Parti AMANAH, Mohamad Sabu (empat dari kiri) bersama Salahuddin (tiga dari kanan) meraikan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka AMANAH di Kawasan Kejiranan Semarak. - Foto Rohanis Shukri

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan eksklusif BH mengenai ketiadaan data lengkap jumlah petani aktif dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketirisan dan penyelewengan agihan subsidi baja.

BH melaporkan walaupun kerajaan secara tetap menyalurkan subsidi dan insentif berjumlah RM1.9 bilion khususnya baja setiap tahun, pengeluaran perkapita padi negara menyaksikan penurunan iaitu 2,741 tan pada 2015; 2,740 tan pada 2016 dan terus merosot kepada 2,571 pada 2017.

Mengikut rekod, terdapat 155,000 pesawah di seluruh negara, namun difahamkan jumlah mereka yang aktif dengan keluasan kawasan diusahakan tidak dikemaskini sejak 20 tahun lalu.

Salahuddin berkata, menyedari sistem pengagihan subsidi baja perlu diubah, pihaknya mahu memperkenalkan pendekatan baharu yang dapat memastikan subsidi diberi kepada pesawah sepatutnya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan pendekatan dan cadangan baharu selepas data berkaitan jumlah pesawah diperoleh.

“Saya rasa perlu buat pendekatan baharu dalam bentuk yang kita perkenalkan iaitu memberi subsidi pada peringkat output, maknanya lebih banyak hasil dikeluarkan petani, lebih banyak bantuan diberikan berbanding sebelum ini iaitu insentif dan baja diberi di peringkat input.

“Apa yang penting ialah data itu perlu dikemaskini dan mesti betul serta tepat untuk mengelak ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya.

Salahuddin berkata, proses pemutihan itu juga dapat mengenal pasti isu sebenar membabitkan pesawah, selain pihaknya juga sedang memantau semua pegawai yang terbabit dalam urusan subsidi.

Berita Harian X