Rabu, 26 Jun 2019 | 5:02pm
AZIH Muda

CUEPACS gesa LPPSA turunkan caj pengurusan insurans

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menurunkan caj pengurusan bagi insurans kediaman yang dianggap tinggi dan membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata caj pengurusan sebanyak 45 peratus bagi premium insurans kediaman ditetapkan LPPSA adalah terlalu tinggi menyebabkan kadar bayaran bulanan untuk pinjaman perumahan meningkat, sekali gus menyukarkan penjawat awam memiliki rumah.

“Daripada 45 peratus caj pengurusan itu, sebanyak 15 peratus komisen diambil oleh LPPSA, manakala sekitar 30 peratus komisen pula diambil pihak insurans dan ejen.

“Justeru, kami meminta LPPSA mengkaji semula caj pengurusan dalam perlindungan insurans itu supaya penjawat awam tidak perlu membayar premium tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Jalinan Kasih Silaturahim Aidilfitri CUEPACS 2019, di sini, hari ini.

Azih berkata, perkara itu ialah antara agenda dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kongres CUEPACS bagi sesi 2016 hingga 2019 yang berlangsung di ibu negara, semalam.

Beliau berkata, hingga kini, kira-kira 55 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam sudah membuat pinjaman perumahan daripada LPPSA.

Katanya, CUEPACS akan mengemukakan isu berkenaan kepada Bank Negara Malaysia secepat mungkin dan berharap caj pengurusan itu dapat diturunkan agar lebih ramai penjawat awam, terutama golongan muda, mampu membeli rumah.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang ditemui pada majlis terbabit, berkata pihaknya akan meneliti isu berkenaan.

“Paling penting, apa juga perkara yang ingin dilaksanakan nanti tidak memberi beban kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X