Ahad, 23 Jun 2019 | 11:34pm

Pencemaran udara: Peperiksaan di kawasan terjejas berjalan seperti biasa - KPM

JOHOR BAHRU: Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) bagi kertas peperiksaan Bahasa Jepun (kod 6401) dan Bahasa Jerman (kod 6405) yang dijadualkan pada esok akan berjalan mengikut jadual di semua pusat peperiksaan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun, bagi menangani insiden pencemaran bau yang mengakibatkan gangguan kesihatan di daerah Pasir Gudang, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor mengambil tindakan proaktif memindahkan pusat peperiksaan yang terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai ke Sekolah Tun Fatimah (STF) Johor Bahru.

Katanya, hanya dua calon yang terbabit digerakkan untuk menduduki UPBA di STF.

“Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas peperiksaan Prinsip Perakaunan (kod 3756/4) dan Perniagaan (Kod 3766/4) untuk calon persendirian yang dijadualkan pada 24 Jun, tidak membabitkan calon di pusat peperiksaan daerah Pasir Gudang.

“Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Jun juga akan dijalankan mengikut jadual.

“Pusat peperiksaan yang disenaraikan dalam arahan penutupan sementara sekolah di Pasir Gudang iaitu JK702 SMK Pasir Gudang 2 yang membabitkan 64 calon sudah dimaklumkan oleh JPN Johor mengenai perubahan pusat peperiksaan di SMK Dato’ Penggawa Timur,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, JPN Johor juga sudah meletakkan notis perubahan pusat peperiksaan di SMK Pasir Gudang 2 sebagai makluman tambahan kepada calon atau waris calon.

“Petugas Peperiksaan JPN Johor juga akan berada di pusat SMK Pasir Gudang 2 pada hari pertama peperiksaan bermula iaitu pada 25 Jun 2019 bagi memaklumkan sekiranya ada calon yang hadir ke pusat peperiksaan terbabit.

“Hebahan berkaitan perpindahan pusat peperiksaan juga sudah dibuat menerusi portal rasmi JPN Johor,” katanya.

tamat

Berita Harian X