Ahad, 23 Jun 2019 | 2:58pm

Kerajaan dijangka teruskan proses ambil alih tol lain

BUTTERWORTH: Kerajaan dijangka mengambil alih konsesi lebuh raya lain sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya yang diumumkan semalam berjalan lancar.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pengambilalihan empat lebuh raya terbabit akan menjadi perintis dalam usaha membantu meringankan beban rakyat menerusi pengurangan kadar tol pada waktu tertentu.

“Ini ujian perintis. Pada waktu bukan puncak, kita akan bagi secara percuma tetapi pada waktu puncak, pengguna hanya perlu bayar caj kesesakan iaitu kadar tol sedia ada.

“Jadi, ini suatu penambahbaikan yang amat ketara berbanding dulu. Kelebihannya, apabila kita beli konsesi ini, ia akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan akan mengambilalih empat lebuh raya utama, membabitkan nilai RM6.2 bilion sebagai langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan menzahirkan janji Pakatan Harapan (PH).

Empat lebuh raya itu ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1.377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Struktur akhir caj selepas pengambilalihan itu akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020, sekali gus pengguna empat lebuh raya ini akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun.

Sementara itu, Guan Eng berkata Kementerian Kewangan akan menambah 80 alat pengimbas kontena kepada Kastam di semua laluan pintu masuk seluruh negara.

Katanya, penambahan alat pengimbas itu dijangka dapat membantu pihak Kastam mengenalpasti barangan yang tidak dibenarkan seperti plastik yang tidak boleh dikitar semula dibawa masuk ke negara ini.

“Saya terima aduan daripada Kastam, mereka sukar untuk buat pemeriksaan secara rapi 100 peratus. Kadang-kadang depan elok, tetapi di belakang ada macam-macam, itu yang jadi cabaran besar,” katanya.

MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pulau Pinang di Butterworth, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Pulau Pinang di Butterworth, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam
Kerajaan dijangka mengambil alih konsesi lebuh raya lain sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya yang diumumkan semalam berjalan lancar. - Foto hiasan
Kerajaan dijangka mengambil alih konsesi lebuh raya lain sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya yang diumumkan semalam berjalan lancar. - Foto hiasan
Berita Harian X