Sabtu, 22 Jun 2019 | 7:40pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Potongan cukai dua kali sertai latihan di NIOSH

KUALA LUMPUR: Syarikat yang menghantar pekerja mereka mengikuti beberapa latihan di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) layak menikmati potongan cukai pendapatan dua kali bagi tahun taksiran 2019 hingga 2023.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata potongan itu dapat dilaksanakan selepas permohonan NIOSH untuk menjadi institut latihan di bawah Skim Galakan Potongan Cukai Dua Kali mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 31 Mei lalu.

“Selaras dengan Kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Untuk Latihan Yang Diluluskan) 1992, syarikat yang menghantar pekerja mereka untuk mengikuti latihan di NIOSH boleh mendapat faedah itu untuk perbelanjaan latihan termasuk kos yuran, pengangkutan, penginapan dan tuntutan perbelanjaan lain yang berkaitan.

“Inisiatif ini akan menggalakkan majikan untuk memberi latihan kepada pekerja mereka dan meringankan beban majikan yang kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, kursus yang diluluskan untuk pemotongan cukai dua kali ialah Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO), Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS), Juruteknik Higen Industri 1, Juruteknik Higen Industri 2 dan Latihan untuk Jurulatih.

Majikan dan pekerja yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi ibu pejabat NIOSH di talian 03-87692100. - BERNAMA

Berita Harian X