Sabtu, 22 Jun 2019 | 5:05pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Mikail Ong
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Mikail Ong

Ambil alih 4 lebuh raya kurangkan beban pengguna - Guan Eng

PUTRAJAYA: Pengambilalihan empat lebuh raya utama membabitkan nilai RM6.2 bilion adalah langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tawaran ini tertakluk kepada ketekunan wajar, sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi yang mencukupi serta kelulusan Kabinet yang muktamad.

Beliau berkata, jika proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan berjalan lancar, kerajaan melalui sebuah syarikat tujuan khas (SPV) anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), akan mengambil alih lebuh raya terbabit pada 31 Disember ini.

Katanya, empat lebuh raya terbabit adalah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1,377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

“Pengambilalihan empat lebuh raya ini adalah langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji Pakatan Harapan.

“Cadangan ini adalah hasil daripada usaha rundingan dengan pihak Gamuda (Berhad), yang membawa Kementerian Kewangan memberikan tawaran rasmi pada 21 Jun 2019 kepada keempat-empat syarikat konsesi berkenaan dengan harga ‘enterprise value’ (nilai wajar perusahaan) membabitkan nilai RM6.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, struktur akhir caj kesesakan akan dikaji secara terperinci dan diperhalusi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari 2020, sekali gus pengguna empat lebuh raya ini akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun.

Beliau berkata, penjimatan itu bermakna pendapatan boleh guna isi rumah rakyat Malaysia akan bertambah dengan jumlah yang sama.

“Caj kesesakan adalah caj boleh ubah yang bergantung kepada masa penggunaan.

“Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.

“Bagi tidak membebankan rakyat, kerajaan akan mengekalkan caj kesesakan maksimum pada waktu puncak pada kadar tol sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, pengambilalihan keempat-empat lebuh raya ini akan secara langsung menjimatkan pembayar cukai sekurang-kurangnya RM5.3 bilion dalam bentuk bayaran pampasan kepada syarikat konsesi untuk membekukan kadar tol di lebuh raya berkenaan sehingga akhir hayat konsesi.

Katanya, pampasan ini tidak perlu lagi dibayar selepas empat lebuh raya terbabit diambil alih oleh kerajaan.

“Ini bermaksud bahawa kerajaan akan mampu memperuntukkan

perbelanjaan tambahan melebihi RM5.3 bilion untuk membantu rakyat seluruh Malaysia pada tahun yang akan datang.

“Ia bukan sahaja pengguna lebuh raya akan menerima penjimatan besar dalam langkah ini, rakyat seluruh negara juga akan menikmati manfaat.

“Fakta ini dengan secara langsung membuktikan bahawa model konsesi lebuh raya bertol di bawah kerajaan Barisan Nasional hanya menguntungkan pihak konsesi dan tidak mengutamakan rakyat jelata,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan bersungguh-sungguh membuat nilai tawaran pengambilalihan yang paling wajar supaya ia bukan sahaja dapat memaksimumkan pulangan kepada rakyat, tetapi juga tidak akan mengakibatkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan.

“SPV akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon. Kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Kos pengambilalihan terbabit akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa membabitkan sebarang perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Berita Harian X