Sabtu, 22 Jun 2019 | 5:03pm

Rakyat perlu jadi duta pelancongan negara

KUALA LUMPUR: Sasaran kehadiran 30 juta pelancong sempena Visit Malaysia 2020 dengan pendapatan RM100 bilion dijana menerusinya, mampu dicapai jika rakyat berperanan sebagai duta pelancongan negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, orang ramai perlu bersama kerajaan mempromosi dan cara yang paling mudah adalah dengan menonjolkan keperibadian mulia.

“Apabila orang asing jatuh cinta dengan sifat keperibadian timur yang kita miliki, dengan sendirinya mereka akan mencari pula seni dan warisan negara kita untuk dihayati dan dinikmati.

“Sudah pastilah, mereka akan mencarinya di sini di negara kita, Malaysia, Truly Asia,” katanya dalam ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Muzium Diraja di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Isham Ishak.

Dr Wan Azizah berkata, kepelbagaian seni budaya dan warisan adalah kekuatan Malaysia yang sebenarnya.

“Kita harus menjadi negara contoh kepada dunia luar dengan rakyatnya memiliki tata susila, tata laku dan tahap intelektual yang tinggi.

“Dengan memiliki tahap kualiti sedemikian, negara akan berupaya berkembang dan makmur sebagai sebuah negara maju dengan rakyatnya mempunyai mentaliti kelas pertama,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha merancakkan kedatangan pelancong asing, kerajaan sudah memperkukuhkan usaha untuk mencapai sasaran terbabit.

Antaranya, mencalonkan lebih banyak tapak warisan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Taman Hutan Selangor FRIM, Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Taman Negeri Royal Belum di Perak.

Katanya, kerajaan juga memberi tumpuan utama kepada usaha promosi produk pelancongan minat khas di luar negara seperti selam skuba, pelancongan pelayaran, inap desa, dan ekopelancongan.

“Memaksimumkan kempen pemasaran bersepadu melalui kerjasama dengan agensi kerajaan bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan dan perfileman,” katanya.

Dr Wan Azizah juga berkata, kerajaan juga akan menjadikan Malaysia rakan rasmi negara (Partner Country) dalam Internationale Tourismus Borse (ITB) 2019 di Berlin, Jerman.

“(Selain) Pelaksanaan sepenuhnya Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 di mana 60 kluster eko pelancongan sudah dikenal pasti di seluruh negara,” katanya.

TIMBALAN Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Muzium Diraja, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
TIMBALAN Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri di Muzium Diraja, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X