Sabtu, 22 Jun 2019 | 4:08pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (kanan) merasmikan Program Karnival Syawal di Sekolah Agama Rakyat At-Tolibiah, Kampung Changkat Larang, Lahat, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Larangan merokok di premis makanan tetap dikuatkuasakan 1 Januari 2020

IPOH: Penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan tetap akan dikuatkuasakan serta merta pada 1 Januari 2020.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terus-menerus tidak akur dengan larangan berkenaan.

“Penguatkuasaan pendidikan akan diteruskan sehingga hujung tahun ini, ia mengambil masa untuk mendidik, hendak mengubah sikap ini bukan boleh sehari dua.

“(Tapi) saya berikrar pada 1 Januari tahun hadapan kita akan terus menguatkuasakan larangan dan mengeluarkan saman sekiranya ada perokok tidak mematuhi peraturan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Syawal di Sekolah Agama Rakyat At-Tolibiah, Kampung Changkat Larang, Lahat di sini, hari ini.

Boon Chye diminta mengulas mengenai tindakan perokok yang seakan tidak takut dengan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam, terutama selepas Kementerian Kesihatan menangguhkan penguatkuasaan terhadap perkara itu beberapa kali.

Beliau berkata, pihaknya melihat perkembangan semasa itu secara positif kerana didapati lebih 80 peratus perokok memahami ada peraturan itu dan akur mengenainya.

“Bagaimanapun, kita tahu ada mereka yang masih tidak akur kepada. Jadi, saya menyeru peraturan itu adalah untuk kepentingan kesihatan sendiri, kesihatan orang yang berada di sekeliling agar mereka mengelak daripada merokok di hadapan orang tidak merokok.

“Kita menghormati hak mereka untuk merokok tetapi kita juga patut menghormati hak mereka yang tidak merokok supaya bebas daripada kesan asap rokok,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan penguatkuasaan larangan merokok sedia ada di tempat makan yang berhawa dingin, rumah ibadat, pejabat kerajaan, institut pengajian tinggi (IPT) dan juga tempat awam lain diteruskan.

“Memang hasrat kita untuk memperluas kawasan larangan merokok ini untuk meliputi tempat makanan yang tidak berhawa dingin.

“Tujuannya mendidik, sekiranya tidak dapat mengurangkan atau berhenti merokok, sekurang-kurangnya kita berharap mereka akan mengubah sikap supaya tidak merokok dalam kalangan orang ramai,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan mengumumkan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember ini.

Tempoh mendidik sebelum menguatkuasa larangan merokok di kedai makan dan restoran sebelum ini ditetapkan berakhir Julai ini selepas pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok bermula pada 1 Januari lalu.

Berita Harian X