Sabtu, 22 Jun 2019 | 3:20pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf bergambar bersama orang ramai pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Mujahid mahu pusat zakat keluar cari asnaf

KUALA LUMPUR: Institusi zakat perlu mengambil inisiatif keluar sendiri mencari asnaf, bukan hanya menunggu golongan itu memohon bantuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, berkata mungkin ada dalam kalangan golongan itu hanya berdiam diri kerana malu memohon bantuan zakat sedangkan mereka layak berbuat demikian.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga sering berpesan bahawa usaha mencari golongan susah harus dilakukan supaya bantuan dapat disalur untuk mengurangkan beban mereka.

“Tanggungjawab institusi menguruskan zakat seperti MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) bukan hanya mengutip zakat semata-mata, tetapi harus melihat keberkesanan dengan menyalurkannya kepada pihak terbabit.

“Ia juga institusi penting dalam memenuhi kehendak seperti membantu membanteras kemiskinan di peringkat global seperti digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kita dari MAIWP perlu menyumbang kepada agenda dunia dalam membasmi kemiskinan yang tiada sempadan, membantu asnaf menjadi pembayar zakat menghulurkan bantuan kepada orang lain pula,” katanya berucap pada majlis sambutan Aidilfitri MAIWP di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada 500 anak yatim terdiri daripada 300 kanak-kanak Islam dari Kompleks Darul Kifayah dan 200 kanak-kanak Cina dan India dari beberapa pusat perlindungan serta kebajikan anak yatim sekitar Kuala Lumpur.

Mujahid berkata, MAIWP juga memainkan peranan mengagihkan zakat menerusi pelbagai bentuk bantuan kepada asnaf yang sebahagiannya kini sudah berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan.

Setakat ini, katanya, MAIWP menawarkan 28 skim bantuan merangkumi bantuan keperluan asas, pendidikan, kebajikan dan dakwah, antaranya berbentuk bantuan kewangan bulanan yang dinikmati 22,000 keluarga.

“MAIWP turut memanfaatkan zakat dengan menubuhkan institusi pendidikan dan kebajikan seperti Darul Kifayah di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves untuk menjaga kebajikan anak yatim yang ada di antara penghuninya kini berjaya dalam kerjaya.

“MAIWP turut menubuhkan pusat perlindungan dan pemulihan wanita terjebak dengan gejala sosial serta mengandung anak luar nikah dikenali Dar Assaadah. Ia selaras hasrat kita membantu dan mendekati pelaku mungkar supaya kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Berita Harian X