Jumaat, 21 Jun 2019 | 3:50pm

Tun M lancar Malaysia Fest 2019 di Bangkok

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan ‘Malaysia Fest’ 2019 yang mengetengahkan makanan, barangan dan persembahan kebudayaan terbaik Malaysia di Dataran Central World, di sini.

Di sebalik jadual yang padat, Dr Mahathir meluangkan kira-kira satu jam melawat gerai dan merasai beberapa jenis makanan jalanan asli Malaysia.

Festival itu yang berlangsung sejak semalam sehingga Ahad ini diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrel Leiking; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Yang hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan Pengerusi Dewan Perniagaan Malaysia-Thai (MTCC), Dr Hwee Khim Boo.

Lebih 80 syarikat dan usahawan dari Malaysia mempamerkan perkhidmatan serta keunikan produk mereka, termasuk makanan sejuk beku, kopi, bijirin, biskut, konfeksi, produk kecantikan dan kraftangan.

Selain itu, sebanyak 24 gerai makanan menyajikan 68 menu makanan jalanan Malaysia yang disedia dan dihidangkan panas-panas.

Festival Malaysia 2019 dianjurkan MTCC dan Conceptual Events Worldwide Co Ltd, mendapat sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Thailand serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).

Selain itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Tourism Malaysia.

Produk dan pakej pelancongan, peluang pendidikan, kemudahan dan produk penjagaan kesihatan juga dipamerkan pada acara terbabit. Pengunjung juga berkesempatan menyaksikan persembahan kebudayaan tradisional Malaysia.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, berkata ‘Malaysia Street Food Lover 2019’ adalah antara program yang diadakan sempena ‘Malaysia Fest’ 2019.

Beliau berkata, ia satu usaha untuk menjual dan mempromosikan Malaysia melalui makanan.

“Ramai tanya kenapa kementerian pilih Thailand yang juga syurga makanan untuk mempromosi makanan jalanan Malaysia. Ini kerana kita mahu tahu penerimaan penduduk tempatan terhadap makanan kita.

“Ini usaha dan percubaan pengusaha makanan jalanan Malaysia untuk menembusi pasaran Thailand,” katanya sambil menambah, sambutan terhadap makanan jalanan Malaysia adalah sangat baik.

“Semalam, 10 kilogram beras untuk nasi lemak habis. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing berkunjung ke Malaysia ‘Street Food Lover’ pada hujung minggu ini,” katanya. - BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan ‘Malaysia Fest’ 2019 di Dataran Central World, Bangkok. - Foto BERNAMA
Berita Harian X