Selasa, 18 Jun 2019 | 6:23pm
TAN Sri Lee Lam Thye (kanan) hadir pada majlis pelancaran produk keselamatan 3M Malaysia di Pameran Kejuruteraan Petroleum dan Gas Asia ke-17 (OGA 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

NIOSH saran kerajaan beri rebat cukai import PPE

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk mempertimbangkan rebat cukai dan insentif baharu bagi tujuan mengimport dan mengeluarkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang berkualiti tinggi dan pintar.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penggunaan peralatan itu menjadi satu keperluan dalam aspek keselamatan di tempat kerja seiring pembangunan pesat yang dialami Malaysia.

“Pemberian rebat cukai bagi PPE yang diimport menjadikan ia lebih murah selain menggalakkan majikan mendapatkan peralatan yang berkualiti untuk pekerja mereka.

“Sebarang rebat cukai bagi PPE akan menjadi insentif yang membantu menggalakkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya ketika melancarkan produk keselamatan 3M Malaysia di Pameran Kejuruteraan Petroleum dan Gas Asia ke-17 (OGA 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Lam Thye, berkata, pengimport PPE berkualiti tinggi perlu diberikan inisiatif, terutamanya yang menggunakan teknologi sensor berketepatan tinggi, Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Sesetengah syarikat sudah memperkenalkan PPE yang menggunakan fabrik ringan atau sistem penyejukan yang dapat memberikan keselesaan kepada mereka yang bekerja di bawah sinaran terik matahari.

“Sebagai contoh produk oleh 3M Malaysia Scott Safety menyediakan pelbagai alat pernafasan dan peralatan perlindungan diri serta keselamatan yang inovatif untuk pekerja yang terbabit dalam operasi pembinaan komersil dan kediaman,” katanya yang berkata, syarikat itu turut membekalkan alat pernafasan yang sesuai kepada sukarelawan ketika tragedi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Mac lalu.

Katanya, PPE seperti pelindung mata, pakaian, sarung tangan, rompi, penyumbat telinga dan kasut keselamatan direka untuk untuk melindungi pekerja dari kecederaan di tempat kerja atau penyakit berbahaya yang disebabkan kimia dan radiologi di tempat kerja.

“PPE selalunya dianggap pertahanan terakhir selepas kawalan kejuruteraan dan pentadbiran gagal mengurangkan kemalangan pekerjaan, malah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 mewajibkan penggunaan PPE untuk mengurangkan bahaya di tempat kerja.

“Banyak majikan mendakwa harga PPE yang diimport mahal, menjadikan mereka menggunakan alternatif lain seperti membeli produk murah dengan kualiti yang lebih rendah dan ini mendedahkan pekerja mereka kepada kecederaan dan penyakit,” katanya.

Tambah Lam Thye, majikan tidak harus berkompromi dengan kualiti PPE kerana mereka harus mematuhi garis panduan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau sekurang-kurangnya memenuhi keperluan standard SIRIM untuk memastikan kualiti produk tersebut.

“Di bawah undang-undang, menjadi tanggungjawab majikan menyediakan latihan dan PPE, manakala bagi pekerja, mereka bertanggungjawab memakai PPE yang disediakan,” katanya.

Berita Harian X