Selasa, 18 Jun 2019 | 9:02am

ICQS Bukit Kayu Hitam, CIQ Sadao mula operasi 24 jam hari ini

BUKIT KAYU HITAM: Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Thailand diperkukuhkan menerusi operasi 24 jam di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao yang bermula pagi ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, berkata perkongsian sempadan berupaya meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Katanya, permulaan operasi 24 jam itu bakal menarik pelaburan asing, memantapkan usaha perindustrian dan merancakkan proses pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

“Hubungan dua hala ini memperkasakan integrasi serantau dalam kalangan negara ASEAN sekali gus meningkatkan usaha berterusan bagi merealisasikan komuniti ASEAN yang bersepadu.

“Sebagai contoh, perdagangan antara kedua-dua negara terus mantap dan Thailand adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

PEGAWAI Imigresen membuka pintu pagar sempadan antara Malaysia-Thailand yang memulakan operasi selama 24 jam untuk laluan logistik. - Foto Shahrizal Md Noor
PEGAWAI Imigresen membuka pintu pagar sempadan antara Malaysia-Thailand yang memulakan operasi selama 24 jam untuk laluan logistik. - Foto Shahrizal Md Noor

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran operasi berkenaan di sini, awal pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Penasihat kepada Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anamarn dan Gabenor Wilayah Songkhla, Weranaan Pengjun.

Operasi 24 jam itu akan dijalankan dalam tempoh percubaan selama tiga bulan membabitkan pergerakan kargo dan barang dibawa menggunakan trak dan kenderaan berat.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata kedua-dua negara akan terus mempromosikan perdagangan dan pelaburan yang dapat memanfaatkan penduduk sekitar sempadan Malaysia dan Thailand.

“Kita akan membantu penduduk tempatan untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka dan membangunkan pelan pembangunan bagi jangka masa panjang di kawasan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Chaisiri berkata, pelaksanaan operasi terbabit dibuat sebagai susulan kepada persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri kedua-dua negara ketika lawatan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Bangkok, Oktober lalu.

“Inisiatif ini akan membantu melancarkan logistik merentasi sempadan, mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan dan memudahkan koordinasi antara agensi kawalan sempadan sepanjang masa.

“Kita percaya tempoh operasi yang dilanjutkan ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu siang, selain memudahkan rakyat kedua-dua negara menyeberangi sempadan bagi tujuan pelancongan, perniagaan dan perdagangan,” katanya.

Penasihat Menteri Luar Thailand, Chaisiri Anaman (kiri) bersama Gabenor Wilayah Songkhla Weranaan Penguin melakukan gimik pelepasan kenderaan berat dari Malaysia memasuki Thailand dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya menerima kemasukan lori dari Thailand di majlis Pelancaran Operasi 24 jam di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao. - Foto Shahrizal Md Noor

Berita Harian X