Isnin, 17 Jun 2019 | 5:22pm
KEADAAN Sungai Kim Kim berhampiran Kampung Bukit Pulai bersih selepas kerja kerja pembersihan dilakukan hari ini selepas berlaku pencemaran sisa bahan toksik pada bulan Mac lalu di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. NSTP/Zain Ahmed

30 kilang kimia dipantau

PASIR GUDANG: Lebih 30 kilang memproses bahan kimia selain puluhan kilang berkaitan industri berat termasuk logam yang berada berhampiran jajaran Sungai Kim Kim di sini dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengelakkan pencemaran.

Sumber berkata, pemantauan berterusan dan teliti itu dibuat bagi memastikan pemilik kilang terbabit sentiasa mematuhi syarat berhubung kaedah pelupusan sisa kimia, sekali gus mengelak tragedi pencemaran kimia di sungai berkenaan berulang.

“JAS mempunyai maklumat lengkap mengenai semua kilang terbabit yang termasuk dalam keseluruhan 247 kilang yang berada berhampiran jajaran Sungai Kim Kim. Jabatan itu juga mempunyai rekod mengenai bahan kimia yang dikendalikan atau dihasilkan oleh kilang berkenaan.

“Selain mengemas kini pangkalan data melalui pemantauan dan pemeriksaan berkala, JAS turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan pematuhan undang-undang alam sekitar dan pelupusan sisa berjadual,” katanya di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan terdapat sebanyak 274 kilang di sepanjang sungai itu yang direkodkan dalam bancian dilakukan JAS sebelum ini, sekali gus menjadi antara faktor pencemaran di sungai itu sukar dikawal.

Tinjauan BH minggu lalu mendapati, selepas tiga bulan disahkan selamat dan bebas daripada pencemaran sisa kimia berbahaya, sungai itu kini berhadapan pencemaran sampah-sarap selain menjadi cetek.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Putih, Suhaimi Ahmad Shah, berkata penduduk kawasan itu berharap pihak berkuasa termasuk JAS melakukan pemantauan teliti terhadap operasi semua kilang di kawasan perindustrian berkenaan.

Katanya, tragedi pencemaran sisa kimia di kawasan itu yang menjejaskan kira-kira 6,000 orang pada awal Mac lalu, benar-benar menakutkan penduduk.

“Kami juga berharap pihak berkuasa dapat berkongsi maklumat terutama mengenai status sungai itu dari semasa ke semasa dengan penduduk secara terbuka kerana kami sendiri tidak tahu apa status sebenar sungai itu.

“Selepas operasi pembersihan sungai berkenaan selesai beberapa bulan lalu, penduduk tidak diberi apa-apa penerangan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon, mengakui JAS meningkatkan penguatkuasaan terhadap semua kilang di kawasan berkenaan.

“Ada beberapa kaedah yang dilakukan termasuk pematuhan kendiri oleh kilang selain pemberitahuan dan pelaporan alam sekitar secara atas talian (OER) selain pemeriksaan secara berkala dan berdasarkan aduan diterima oleh JAS.

“Bagi kilang yang menjana sisa toksik buangan berjadual, mereka dipantau melalui Sistem Maklumat Buangan Berjadual Elektronik (eSWIS) yang mampu mengesan pergerakan bahan buangan berjadual daripada kilang pengeluar kepada kemudahan pelupusan yang dilesenkan oleh JAS.

“JAS juga menjalankan pemantauan kualiti air Sungai Kim-Kim melalui dua stesen pemantauan yang terdapat di sungai berkenaan untuk memastikan tahap kualiti airnya,” katanya.

Berita Harian X