Isnin, 17 Jun 2019 | 4:10pm
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baharu di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Raja Permaisuri Agong Ketua Perlembagaan UIAM baharu

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baharu di Istana Negara, hari ini.

Tunku Azizah yang juga wanita pertama dilantik bagi jawatan itu untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April lalu, menerima watikah berkenaan daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada majlis terima menghadap baginda pagi tadi.

Pelantikan Tunku Azizah itu menggantikan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mangkat pada 22 Mei lalu.

Turut serta menghadap, Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Timbalan Rektor, Prof Dr Isarji Sarudin dan beberapa kepimpinan tertinggi UIAM.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, pertemuan hari ini bagi memaklumkan secara rasmi kepada Tunku Azizah berhubung pelantikan itu dan mengucapkan tahniah kepada baginda yang menjadi Ketua Perlembagaan UIAM baharu.

Beliau berkata, jubah rasmi Tunku Azizah sebagai ketua perlembagaan akan ditempah baharu menggunakan kain Tenun Pahang Diraja bagi upacara rasmi universiti.

“Jubah canselor (ketua perlembagaan) adalah baju rasmi, tetapi baginda ingin ‘localise’ baju (jubah) itu dengan kain Tenun Pahang Diraja.

“Kita terharu kerana memang kita mahukan tradisi tempatan mewarnai universiti kita. Daripada diimport, kini reka bentuknya sendiri masih sama, tetapi buatan tempatan khususnya dari Pahang,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X