Isnin, 17 Jun 2019 | 2:06pm
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (lima, kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Express Rail Link Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh (lima, kiri) bergambar bersama wakil syarikat yang menyertai transaksi tanpa tunai pada Majlis Pelancaran Kempen 'Go Cashless on Public Transport' di Kuala Lumpur Sentral. - Foto BERNAMA
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (lima, kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Express Rail Link Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh (lima, kiri) bergambar bersama wakil syarikat yang menyertai transaksi tanpa tunai pada Majlis Pelancaran Kempen 'Go Cashless on Public Transport' di Kuala Lumpur Sentral. - Foto BERNAMA

Sistem tanpa tunai galak penggunaan pengangkutan awam

KUALA LUMPUR : Operator pengangkutan awam digalak menggunakan perkhidmatan aplikasi tanpa tunai dalam setiap urusan transaksi pembelian termasuk tiket berikutan sistem itu diyakini memudahkan, lebih cekap dan efisien.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pengenalan sistem itu seiring perkembangan teknologi masa kini, yang memberi kelebihan buat pengguna mendapatkan perkhidmatan lebih cepat setiap masa.

Katanya, biarpun sistem aplikasi tanpa tunai ini masih baru di negara ini, namun dari segi penerimaan masyarakat, ia sudah menyaksikan perkembangan pesat dan menggalakkan.

“Harapan kita untuk setiap perkhidmatan, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) sudah melancarkan perkhidmatan ini sejak bulan lalu dan berjaya. Ini sebagai permulaan, harapan saya supaya operator pengangkutan yang lain dapat juga menggunakan sistem ini.

“Saya difahamkan Prasarana Malaysia Bhd juga ada perancangan untuk perkhidmatan seperti MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan) dan sebagainya. Kita memang ada cadangan laksana secara berfasa seperti yang kita buat hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kempen menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan atau sistem tanpa tunai untuk perkhidmatan awam memerlukan masa dan pembabitan lebih ramai syarikat korporat.

“Kempen seperti ini tidak boleh dibuat sekali gus. Hari ini kita buat kempen, semua orang akan pakai, tidak begitu. Ia memerlukan masa dan lebih usaha dilakukan pelbagai pihak supaya kesedaran itu meningkat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Tanpa Tunai Bagi Pengangkutan Awam di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) hari ini.

Beliau berkata, aspek keselamatan juga tidak diragui memandangkan setiap transaksi akan direkod, malah ia juga membantu mengurangkan gejala rasuah, berikutan penggunaan sepenuhnya menerusi digital tanpa sebarang tunai.

“Saya rasa sistem ini walaupun masih baru, tetapi ciri keselamatan sudah matang (diyakini), sama seperti perkhidmatan perbankan dalam talian. Dari segi keselamatan rakyat sudah mula yakin (sistem tanpa tunai ini).

“Saya percaya pengendali sistem dan aplikasi, mereka juga berkerja keras untuk memastikan sistem ini selamat digunakan. Kalau sistem tidak selamat, orang awam tidak akan guna. Apa yang kita dapat lihat kini, orang semakin yakin. Kerajaan juga ambil berat aspek ini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, penggunaan sistem tanpa tunai juga membantu operator pengangkutan awam merekod bilangan penumpang setiap hari bagi tujuan analisis dan melihat tahap kekerapan penggunaan bagi waktu tertentu.

“Kita galakkan operator gunakan data itu untuk memperkenalkan penetapan harga dinamik. Sebab kita tahu, pengguna akan pakai berapa kali sebulan dan waktu yang ramai penumpang. Maka kalau kita boleh beri insentif dan sebagainya, ia juga akan menambah bilangan penumpang.

“Tujuan utama kita mahu lebih ramai orang guna pengangkutan awam,” katanya sambil memaklumkan bahawa langkah baharu itu antara agenda utama kerajaan dalam meningkatkan keupayaan dan kecekapan pengangkutan awam di negara ini.

Berita Harian X