Jumaat, 14 Jun 2019 | 4:26pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Hatta Ramli merasmikan restoran makanan Korea diusahakan anak tempatan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Dasar Keusahawanan Negara akan dilancar bulan depan

KUALA LUMPUR: Dasar Keusahawanan Negara yang menggariskan hala tuju bagi menggalakkan pembangunan serta memacu pertumbuhan sektor keusahawan nasional, akan dilancarkan bulan depan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijadual melancarkannya pada 11 Julai.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Hatta Ramli, berkata dasar itu diharap dapat meningkatkan sumbangan sektor keusahawanan terutama berteraskan koperasi dan inovasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa depan.

Katanya, kerajaan sangat optimis bahawa sumbangan gerakan koperasi kepada KDNK negara mampu mencapai 10 peratus pada tahun depan.

“Hari ini, 95 peratus syarikat berdaftar (dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia) terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun sumbangan kepada KDNK masih kecil, sekitar 37 peratus.

“Kerajaan berharap pelancaran dasar itu dapat membantu memacu dan memajukan lagi sektor keusahawanan bagi memastikan muncul sebagai sebuah negara keusahawanan di mana sumbangan PKS boleh mencapai sehingga 50 peratus kepada KDNK menjelang 2030,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan restoran makanan Korea diusahakan anak tempatan di sini, hari ini.

Dr Hatta berkata kerajaan juga berharap pelancaran dasar itu akan dapat membantu lebih ramai usahawan PKS tempatan untuk menerokai pasaran luar negara termasuk ke Korea Selatan menerusi produk makanan dan pembukaan restoran halal.

“Kita berharap usaha ini dapat membantu usahawan mengeksport hasil keluaran syarikat mereka keluar negara bukannya hanya terhadap kepada pasaran tempatan semata-mata,” katanya.

Berita Harian X