Khamis, 13 Jun 2019 | 8:33pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bergambar bersama wakil syarikat yang membayar zakat di Bangi, sebentar tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bergambar bersama wakil syarikat yang membayar zakat di Bangi, sebentar tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq

MAIWP sasar kutip zakat RM1 bilion 2023

BANGI: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan untuk memungut zakat sehingga RM1 bilion pada 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata sasaran itu bukan suatu mustahil berikutan prestasi memberangsangkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) yang berjaya mengutip zakat berjumlah RM600 juta pada 2018.

Berikutan itu PPZ-MAIWP menyasarkan untuk mengutip zakat berjumlah lebih RM710 juta sehingga akhir tahun ini dan dijangka terus meningkat sehingga RM1 bilion pada akhir 2023.

“Sudah tentulah untuk mencapai sasaran berkenaan kita akan mengadakan pelbagai program bagi menggalakkan orang ramai dan syarikat korporat membayar zakat pendapatan masing-masing.

“Kita juga akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan pembayar zakat sedia ada bahawa semua wang yang diterima PPZ-MAIWP akan dibelanjakan dan diagihkan secara telus kepada tujuh golongan asnaf.

“Apa yang lebih penting, kita mahu bantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan dan seterusnya menjadi golongan berpotensi menjadi pembayar zakat,” katanya pada sidang media selepas menerima zakat pendapatan lebih RM26 juta daripada 15 syarikat korporat di sini, sebentar tadi.

Antara syarikat terbabit termasuklah Agro Bank, Amanah Hartanah Bumiputera, Bank Islam Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad, Lembaga Tabung Haji, Maybank Islamik Berhad dan Perbadanan Nasional Berhad.

Dalam pada itu, Mujahid berkata beliau berharap syarikat korporat yang berzakat akan dilimpahi keberkatan dan ditambahkan rezeki supaya mereka dapat terus membayar zakat.

Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan kerajaan masih menunggu keputusan Arab Saudi bagi permohonan Malaysia untuk mendapat 10,000 kuota Haji tambahan untuk tahun ini.

Mujahid berkata beliau difahamkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kuota Haji tambahan terbabit.

Berita Harian X