Khamis, 13 Jun 2019 | 6:11pm
SALAHUDDIN Ayub bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan (kanan) semasa sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. - Foto BERNAMA
SALAHUDDIN Ayub bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan (kanan) semasa sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. - Foto BERNAMA

Peruntukan RM44 juta untuk pesawah padi bukit

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM44 juta untuk Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) yang akan memanfaatkan 56,446 pesawah padi bukit di Sabah dan Sarawak bagi musim penanaman bermula awal Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata jumlah itu akan memanfaatkan 11,684 pesawah padi bukit di Sabah dan 44,762 di Sarawak.

Katanya, SBRPB diperkenalkan sejak 2015 dan melalui inisiatif itu, pengeluaran padi bukit berjaya ditingkatkan daripada satu metrik tan per hektar kepada 1.5 metrik tan hingga 2.5 metrik tan per hektar.

“Ia sekali gus berjaya meningkatkan pendapatan pesawah dari RM180 sebulan kepada antara RM320 hingga RM700 sebulan.

“Peruntukan SBRPB ini juga tidak disenaraikan dalam pembentangan belanjawan tahun ini.

“Jadi kita harapkan dengan kelulusan ini dapat membantu pesawah yang terbabit semasa musim penanaman yang akan bermula awal Ogos nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin berkata, selepas melancarkan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Februari lalu, beberapa perancangan sudah dibuat antaranya memodenkan sektor padi negara untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah.

“Susulan perjumpaan saya bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lalu, beliau mahu tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengadakan perbincangan.

“Selepas mengadakan perbincangan, kami diminta memberikan pandangan yang lebih mantap untuk pastikan bahawa perancangan meningkatkan pendapatan petani dapat dilakukan secara holistik dengan penyelesaian bersifat menyeluruh bukan terpencil,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang mengkaji beberapa model penyatuan tanah.

“Secara umumnya saya nyatakan bahawa kebanyakan pesawah kita rata-rata hanya memiliki dua hektar tanah sawah saja, iaitu skala yang sangat kecil.

“Jadi kita memikirkan bagaimana untuk mengubah nasib mereka ini. Susulan itu banyak perbincangan dilakukan untuk melihat beberapa model antaranya termasuk FELCRA yang berjaya buat estet padi, dan kita boleh melihat secara lebih teliti model ini,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin menjelaskan, tanpa perubahan beberapa dasar, penyatuan tanah dan pemodenan sektor padi ini tidak boleh dicapai.

“Jadi cadangan kita, antara dasar yang perlu diubah termasuk mereka yang mengusahakan tanah sawah lebih daripada 10 hektar berhak mendapat subsidi dan pesawah diberi kebebasan untuk memilih input pertanian.

“Selain itu, peralihan daripada subsidi berasaskan input kepada subsidi berasaskan pengeluaran serta sistem kuota pengeluaran benih padi sah diubah dan digantikan dengan sistem pasaran terbuka,” katanya.

Berita Harian X