Khamis, 13 Jun 2019 | 5:46pm
KEADAAN Sungai Kim Kim yang bersih selepas berlaku pencemaran sisa bahan toksik pada bulan Mac lalu di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang. - Foto Zain Ahmed

274 kilang sepanjang jajaran Sungai Kim Kim

PASIR GUDANG: Terdapat 274 kilang di sepanjang jajaran Sungai Kim Kim, di sini, yang dikenal pasti penyebab masalah pencemaran di sungai berkenaan sukar dikawal.

Sumber memberitahu jumlah itu direkodkan dalam bancian yang dilakukan sebelum dan selepas isu pencemaran sisa kimia berbahaya di sungai berkenaan yang menggemparkan negara, Mac lalu.

Katanya, kawasan lembangan Sungai Kim Kim sepanjang 15 kilometer itu antara sungai yang padat dengan kawasan perindustrian di bahagian hulunya menyebabkan penguatkuasaan undang-undang sukar dilaksanakan dengan berkesan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh keupayaan mengesan pemilik kilang yang melepaskan sisa berbahaya tidak dirawat ke sungai kerana memiliki sistem khas latar belakang syarikat, termasuk bahan diproses di kilang kerana ia syarat utama sebelum dibenarkan beroperasi.

“Cuma, yang sukar dikawal kewujudan kilang haram kerana agensi kerajaan tiada maklumat mengenai operasi mereka dan apa yang diproses, apatah lagu sisa apa yang mereka lepaskan ke sungai kita,” katanya.

Justeru, penguatkuasaan bersepadu perlu dilaksanakan secara berterusan di kawasan perindustrian yang terletak di sepanjang Sungai Kim Kim kerana jajarannya berada berdekatan penempatan manusia, termasuk taman perumahan, kampung tradisional serta kampung nelayan menjadikan pencemaran mampu mendatangkan ancaman.

Semalam BH melaporkan selepas tiga bulan diisytiharkan bebas dan selamat daripada pencemaran sisa kimia berbahaya, Sungai Kim Kim, di sini berdepan pula masalah pencemaran sampah sarap, selain menjadi semakin cetek hingga menjejaskan kehidupan komuniti nelayan setempat.

Penduduk setempat mendakwa walaupun sungai itu tidak lagi berbau busuk dengan sisa kimia, namun tahap kebersihannya masih diragui disebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap ke dalamnya.

Antara sampah yang kerap dibuang dan ditemui nelayan termasuklah sisa makanan, plastik sampah, kayu serta bahan binaan termasuk batu bata menyebabkan nelayan yang turun ke Sungai Kim Kim perlu berhati-hati membawa bot masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)Johor, Che Mohd Dahan Che Jusof, ketika dihubungi mengakui isu sampah menjadi masalah baharu Sungai Kim Kim yang sukar dibendung selepas pencemaran sisa kimia berbahaya.

“Ketika pembersihan Sungai Kim Kim pegawai dan kakitangan JPS menjadi saksi wujud golongan yang membuang sampah ke dalam sungai berkenaan dengan sesuka hati.

“Jika dengan kehadiran anggota kerajaan pun mereka tidak takut membuang sampah sesuka hati, apatah lagi jika tiada kehadiran sesiapa di situ menyebabkan Sungai Kim Kim seolah-oleh menjadi tong sampah,” katanya.

Berhubung isu Sungai Kim Kim yang kini cetek, JPS akan menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan kerana ia tidak sepatutnya berlaku kerana pembersihan yang dilakukan Mac lalu, hanya membuang kawasan tebing sungai yang terjejas dengan sisa kimia berbahaya.

“Bahagian dasar sungai langsung tidak diusik kecuali jika ada enapan yang turut tercemar, ” katanya.

Berita Harian X