Rabu, 12 Jun 2019 | 8:40pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) diiringi Timbalan Perdana Menteri UAE dan Menteri Dalam Negeri, Saif bin Zayed Al Nahyan setibanya di Abu Dhabi, hari ini. - Foto BERNAMA

Agong tiba di UAE untuk lawatan khas tiga hari

ABU DHABI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tiba di Abu Dhabi untuk lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini sehingga Jumaat.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan (5.30 petang waktu Malaysia).

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut oleh Timbalan Perdana Menteri UAE dan Menteri Dalam Negeri, Saif bin Zayed Al Nahyan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Luar Malaysia, Senator Datuk Marzuki Yahya; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin; dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof.

Seri Paduka berkenan memulakan lawatan ke negara Teluk Arab ini dengan berangkat menghadiri satu perjumpaan dengan diaspora Malaysia hari ini.

Esok, Sultan Abdullah dijadual berangkat menghadiri upacara sambutan keberangkatan tiba rasmi di Istana Presiden di sini sebelum mengadakan pertemuan peribadi dan berangkat ke majlis santapan tengah hari dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Atur cara lawatan Seri Paduka termasuk berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Besar Sheikh Zayed, masjid terbesar di UAE.

Atur cara lain ialah lawatan ke Wahat Al-Karama (Oasis of Dignity) - peringatan bagi wira-wira UAE yang terkorban - dan Muzium Louvre Abu Dhabi.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Kementerian Luar memaklumkan lawatan khas Sultan Abdullah ke UAE melambangkan kehangatan dan kemesraan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ini adalah lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 31 Januari. – BERNAMA

Berita Harian X