Rabu, 12 Jun 2019 | 5:54pm
SUNGAI Kim Kim

Sungai Kim Kim masih belum selamat

PASIR GUDANG: Tiga bulan selepas diisytiharkan bebas dan selamat daripada pencemaran sisa kimia berbahaya, Sungai Kim Kim, di sini berdepan pula masalah pencemaran sampah sarap, selain menjadi semakin cetek hingga menjejaskan kehidupan komuniti nelayan setempat.

Penduduk setempat mendakwa walaupun sungai itu tidak lagi berbau busuk dengan sisa kimia, namun tahap kebersihannya masih diragui disebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sarap ke dalamnya.

Malah, keadaan sebahagian sungai yang semakin cetek tanpa diketahui puncanya turut dilihat antara penyebab komuniti nelayan dari kawasan hulu sungai tidak dapat meneruskan rutin menangkap ikan di laut sejak tiga bulan lalu.

Penduduk Kampung Bukit Pulai, Zulkifly Kassim, 50, mendakwa kekurangan pemantauan daripada agensi kerajaan selepas isu pencemaran sisa kimia reda mungkin menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab kembali menjadikan sungai itu sebagai tempat pembuangan sampah.

“Terdapat beberapa kawasan dicemari dengan longgokan sampah yang akhirnya masuk ke dalam sungai itu. Ia mungkin bukan dibuang oleh orang kampung sahaja kerana di sepanjang sungai terdapat banyak kilang beroperasi.

“Dengan kepadatan penduduk yang tinggi, termasuk kehadiran ramai warga asing yang bekerja di banyak kilang di situ, sesiapa sahaja boleh membuang sampah ke sungai berkenaan,” kataya kepada BH, di sini.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim bermula pada 7 Mac lalu, menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga menyebabkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang, diarahkan tutup buat sementara.

Keseluruhannya, 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai itu dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor dilantik kerajaan.

Sementara itu, Nursatria Rabu, 34, seorang nelayan yang tinggal di Kampung Bukit Pulai, di sini mendakwa sungai itu menjadi cetek selepas proses pembersihan besar-besaran sisa kimia kira-kira tiga bulan lalu.

“Ramai nelayan dari kampung saya yang terletak di bahagian hulu sungai kini tidak dapat menyusur ke hilir sungai, seterusnya ke laut menggunakan bot seperti yang dilakukan selama ini disebabkan sungai cetek.

“Kami akui airnya tidak lagi hitam seperti dahulu sebaliknya kini bertukar keruh. Kami buntu dan buat masa ini hanya berharap supaya paras air kembali normal supaya kami dapat kembali ke laut,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Pasir Putih, Sarimi Abd Rahman, 46, berkata suaminya, Hashim Ali, 50, yang juga seorang nelayan kini kerap membantunya berniaga di gerai makanan di hadapan rumah mereka.

“Apabila sungai kotor dan tercemar, nelayan seperti suami saya terjejas kerana sukar menangkap hasil laut. Malah, mereka akan menanggung kerugian disebabkan bot rosak akibat kipas tersangkut pada sampah atau tersekat disebabkan air surut dan cetek,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon ketika dihubungi, berkata kerajaan negeri mengambil maklum keadaan air sungai berkenaan yang keruh dan dicemari sampah.

“Kerajaan Johor sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk menyiasat dan mengambil sampel air untuk siasatan lanjut. Kita akan memberi penerangan lanjut selepas laporan siasatan itu dikeluarkan,” katanya.

Berita Harian X