Selasa, 11 Jun 2019 | 2:01pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil 3/2019 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan tingkat pendapatan pesawah - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi, dengan meningkatkan kaedah pertanian secara moden.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pesawah juga digalak memperuntukkan sebahagian tanah mereka untuk tanaman kontan seperti sayuran dan buah-buahan bagi meningkatkan pendapatan.

“Selama yang kita tahu, penanam padi adalah golongan miskin dan mereka bergantung kepada subsidi kerajaan, kita kenal pasti beberapa perkara yang menyebabkan mereka terus dalam garis kemiskinan.

“Pertama, mereka mempunyai holding (kawasan tanah sawah) yang terlalu kecil untuk memberi perolehan pulangan yang baik dan kedua, mereka tidak cekap, di atas tanah satu ekar (0.4 hektar) boleh keluar (hasil) lapan tan, tapi mereka keluar cuma empat tan.

“Jadi, pesawah perlu meningkatkan kaedah penanaman dan cara penggunaan baja. Kerajaan terpaksa bagi subsidi setahun RM1.8 bilion kepada 200,000 pesawah, ini satu kos yang tinggi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil 3/2019 di sini hari ini.

Katanya, kerajaan mahu supaya pesawah dapat menghasilkan pengeluaran lebih banyak bagi setiap hektar dan pada masa sama, mahu menangani masalah kemiskinan penanam padi tanpa kerana mereka tidak boleh dipaksa hanya menanam padi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pesawah boleh meningkatkan pendapatan mereka dengan menanam tanaman alternatif di tanah mereka, yang boleh memberi pulangan yang lebih baik.

“Umpamanya, tanaman kontan yang boleh dituai tiga atau empat kali setahun, yang memberi pulangan lebih baik berbanding padi. Tanaman padi di Kedah dituai dua kali setahun, tapi tempat lain sekali saja, jadi pendapatan mereka berkurangan.

“Kita perlu melihat perkara ini secara menyeluruh, sebab kemiskinan dan cara menanganinya dan pada masa sama, kita mesti menjaga keselamatan bekalan makanan,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerajaan akan mengkaji bagaimana pesawah pada zaman dulu mampu mengeluarkan hasil lapan tan setiap ekar dan mahu menggunapakai kaedah serta dan sistem itu.

“Selain itu kita boleh jana pendapatan tambahan menerusi penanaman sayuran dan buah-buahan seperti harum manis, tembikai dan nanas,” katanya

Berita Harian X